Anwar beri jaminan hak Bumiputera akan dipertahankan


The Malaysian Insight

ANWAR Ibrahim, bakal perdana menteri seterusnya, memberi jaminan kepada orang Melayu yang hak Bumiputera akan dipertahankan.

Bercakap kepada TV Bloomberg pada Jumaat lepas, ketua umum PKR itu berkata: “Orang Melayu telah menolak Umno tetapi bercampur-baur ambivalen dan tidak pasti mengenai sokongan mereka kepada Pakatan Harapan (PH) yang berbilang kaum. Yang bermaksud kami perlu mengambil langkah mencukupi untuk mencuba dan mendekati mereka.”

Anwar, 70, akan mengambil alih jawatan tertinggi daripada Perdana Menteri Dr Mahathir, 92, dalam satu atau dua tahun selepas pengampunan diraja pada Rabu lepas.

PH memperoleh kemenangan besar dengan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi menggulingkan pentadbiran Najib Razak.

Bapa Najib, Abdul Razak Hussein, memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dua tahun selepas rusuhan kaum pada 1969, memberikan layanan istimewa kepada Bumiputera dalam perumahan, biasiswa dan kontrak kerajaan.

DEB dilanjutkan oleh Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 1990-an tetapi dasar itu dipersalahkan kerana melahirkan jutawan Melayu yang super kelas manakala majoriti kekal dalam kemiskinan.

“Kita tentu akan melindungi kedudukan Bumiputera dari segi memberi peluang, tetapi tidak mengayakan mereka untuk menjadi jutawan,” kata Anwar.

Tumpuan Anwar sekarang adalah untuk menangani ketidaksamaan ekonomi, yang katanya bertambah teruk di bawah kerajaan Najib.

Pentadbiran Dr Mahathir juga menumpukan kepada memerangi rasuah - dengan salah satu tugas utamanya mengambil tindakan terhadap Najib, yang sedang disiasat kerana didakwa mencuri berbilion ringgit daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.

Anwar memberitahu TV Bloomberg yang mengatasi “kebocoran dan pembaziran” negara akan menjimatkan kira-kira RM20 hingga RM30 bilion setahun, membolehkan kerajaan PH memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan yang sangat tidak popular, yang berjaya mengutip RM44 bilion di bawah pemerintahan BN. – 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen