BERPEGANG kepada janji untuk menjadikan Malaysia baru di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, rakyat yang khuatir, terutama para akademik, mengharapkan pembaharuan substantif universiti awam negara berikutan pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.
Fellow Kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura, Dr Lee Hwok Aun, berkata: “Saya ingin melihat pembetulan semula dasar dalam bagaimana kita membayangkan dan menjaga peranan, nilai dan fungsi universiti.
“Kita akan mendapat manfaat daripada perisytiharan kebebasan akademik, pemikiran kritis dan penuh semangat yang jelas dan tegas, termasuk bukan sahaja kebebasan untuk mencabar andaian dan soalan pihak berkuasa tetapi juga nilai berbuat demikian.”
Prof Zaharom Nain dari Universiti Nottingham, Kampus Malaysia berkata: “Dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan utama, seperti persatuan kakitangan akademik, Kementerian Pendidikan perlu melihat kebebasan daripada campur tangan politik di institusi pengajian tinggi awam dan memberi kebebasan itu.
“Satu contoh yang jelas adalah pelantikan pengurus universiti teratas hingga ke seluruh kakitangan akademik, di mana amalan pelantikan politik naib canselor, timbalan naib canselor, dan lain-lain perlu digantikan dengan jawatankuasa pemilih universiti yang terdiri daripada ahli akademik berkualiti dan berpengalaman.”
Profesor Madya Dr Faisal S. Haris dari Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa UKM berkata kementerian perlu memastikan pengambilan ahli akademik dan kakitangan sokongan mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia, dan juga berdasarkan merit.
Dr Azmil Mohd Tayeb dari Sekolah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia mengatakan Maszlee perlu melihat pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas mengambil alih jawatan.
Beliau berkata, “AUKU memusnahkan kehidupan universiti selama beberapa dekad kerana ia menghalang kebebasan berakademik, membantutkan autonomi pelajar dan menjadikan kampus sebuah kilang semata-mata yang menghasilkan pekerja yang taat.
“Kebebasan akademik dan autonomi pelajar perlu dikembalikan semula di universiti awam Malaysia seperti yang berlaku pada 1960-an dan 1970-an, seperti kumpulan pelajar tidap perlu meminta kelulusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar setiap kali mahu menganjurkan aktiviti mereka.”
Dalam menyeru pemansuhan AUKU, Lee berkata, “Pembaharuan undang-undang boleh melindungi kebebasan akademik, tetapi tidak semestinya mempromosikan ke arah akademik yang lebih bersemangat, bersikap ingin tahu dan kritikal.
“Saya juga mencadangkan semakan semula kurikulum yang menyeluruh di universiti awam bagi memberi penekanan lebih kepada penulisan dan bukannya membuat power-point, dengan bertanya lebih banyak daripada memberi - dan dalam kebanyakan kes memuntahkan - jawapan. “
Dr Khoo Ying Hooi, pensyarah kanan di Universiti Malaya, berpendapat perlu ada keseimbangan antara sains dan seni/sains sosial, di mana mereka perlu mengembangkan kerjasama supaya saintis sosial diberikan pengiktirafan yang sama dengan saintis.
Faisal dan Zaharom berpendapat Majlis Profesor Kebangsaan (MPN) perlu dimansuhkan kerana ia digunakan untuk mengesahkan parti pemerintah (BN) berbanding mempromosikan ilmu dan membantu negara dalam pembinaan negara.
Demi mengekalkan piawaian tinggi di universiti tempatan, pakar antropologi Dr Lye Tuck Po dari Sekolah Sains Sosial USM menggesa agar pelajar dilayan seperti orang dewasa, singkirkan “profesor kangkong”, dan profesor yang tidak melakukan apa-apa selepas dua tahun dinaikkan pangkat dipertimbangkan untuk penurunan pangkat. – 21 Mei, 2018.
Komen