KETUA agensi rahsia dan perisikan di Pejabat Perdana Menteri sudah bercuti sementara menunggu siasatan terhadap dokumen penting yang diserahkan Najib Razak kepadanya dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Kakitangan Bahagian Jenayah Komersial menyerbu rumah Hasanah Ab Hamid di Seri Kembangan pada Jumaat dan Sabtu tetapi gagal menemui dokumen itu.
Mereka percaya dokumen itu disembunyikan di sebuah rumah persembunyian yang dikendalikan oleh Jabatan Penyelidikan itu.
Polis juga mengawal rapi dua bangunan di Putrajaya dan Jalan Bellamy tempat unit itu beroperasi. Tidak ada banyak maklumat mengenai unit risikan yang dikenali sebagai Pertubuhan Perisikan Luar Negara Malaysia (MIEO).
Tetapi sumber kerajaan mengatakan unit itu menerima pembiayaan besar daripada pentadbiran Najib yang menggunakannya untuk memantau pengkritik kerajaan di dalam dan luar negara.
Unit ini juga difahamkan memantau keadaan politik di selatan Thailand dan Filipina, tempat kelompok Islam berjuang untuk autonomi.
Penyiasat menyatakan Jabatan Penyelidikan wujud sebelum Najib jadi perdana menteri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini menjalankan operasi rahsia untuk memastikan beliau terus berkuasa.
Seramai 300 kakitangan ditempat di bawah Hasanah, yang hanya bertanggungjawab kepada Najib. Dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Penyelidikan pada 2014, Hasanah adalah individu kepercayaan Najib.
Tidak jelas apakah dokumen yang diserahkan bekas perdana menteri itu kepada Hasanah pada 7 Mei – dua hari sebelum Pakatan Harapan mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional.
Sumber yang mengetahui mengenai perkara itu memberitahu Malaysia Decides: “Ia pada dasarnya dikendalikan sebagai agensi pengintip, dan semua aktivitinya disesuaikan untuk memastikan Najib terus berkuasa.
“Mereka juga mempunyai kakitangan di luar negara.”
Difahamkan Hasanah sedang bercuti sementara menunggu penyiasatan polis selesai. – 21 Mei, 2018.
Komen