IA sepatutnya menjadi tindakan bijak yang membantu Barisan Nasional (BN) memenangi 150 kerusi dan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.
Sebaliknya, berbaik-baik dengan PAS bagi mewujudkan pertembungan tiga penjuru bagi kerusi di seluruh Semenanjung Malaysia memakan diri Najib Razak dan gabungan pemerintah.
Daripada 77 pertempuran tiga penjuru yang berlaku, BN menang 32 manakala Pakatan Harapan (PH) menang 22, manakala baki sebanyak 23 dimenangi PAS.
Bagaimanapun, segala ramalan yang kemenangan mudah menjadi milik Najib berlaku sebaliknya.
Jadi apa yang salah?
Sebagai permulaannya, kepercayaan konvensional bagi pertarungan tiga penjuru, Umno boleh bergantung kepada sokongan biasa terhadapnya manakala PAS dan PH akan bertarung antara satu sama lain lain, ternyata salah.
Tsunami rakyat Malaysia berlaku. Ahli Umno dan penyokong tradisi parti itu tidak mengundi calon BN dalam banyak kerusi. Malah, BN hanya menerima 33.9% daripada undi popular, hampir kurang 13% undi berbanding pada 2013.
Ironinya, parti yang sepatutnya melemahkan sokongan untuk PH ternyata menjadi pengacau kepada BN.
Melihat kepada keputusan PRU14 menunjukkan PAS sebenarnya menjejaskan peluang BN dalam 24 kerusi. Dalam pertembungan tiga penjuru, jumlah undi bagi dua parti yang kalah lebih banyak berbanding pemenang.
Di Bentong, presiden MCA dan bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai kalah sebanyak 2,032 undi dengan 23,684 undi. Pesaingannya Wong Tack (PH) memperoleh 25,716 undi manakala N Balasubramaniam (PAS) 5,706 undi. Terdapat 783 undi rosak.
Kesan PAS begitu kuat sehingga walaupun persempadanan semula tidak dapat membantu BN di Lumut yang merupakan kerusi majoriti Melayu.
Walaupun perpindahan kerusi negeri majoriti kaum Cina di Sitiawan ke Beruas, bekas menteri besar Perak, Zambry Abd Kadir (21,555) hanya kalah 400 undi kepada Mohd Hatta Md Ramli daripada PH (21,955). Calon PAS Mohammed Zamri Ibrahim membawa pulang 10,135 undi.
Kesan kehadiran PAS sebagai pengacau juga mengalahkan ramai calon BN yang lebih kuat.
Calon BN terkenal yang kalah adalah Timbalan Presiden MIC SK Devamany (Sungai Siput), bekas menteri kewangan Ahmad Husin Mohamad Hanadzlah (Tambun), bekas exco Perak Mah Hang Soon (Tanjung Malim), ketua MCA Chew Mei Fun (Raub), bekas timbalan menteri menteri pendidikan P Kamalanathan (Hulu Selangor), bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), bekas timbalan menteri pengangkutan Ab Aziz Kaprawi (Sri Gading) dan bekas timbalan menteri sukan Wee Jack Seng (Tanjung Piai).
“BN salah perhitungan apabila ia fikir boleh menang dengan mudah selepas PAS berpecah daripada pembangkang,” kata penganalisis politik daripada Institut Pulau Pinang, Dr Wong Chin Huat.
Beliau berkata BN meremehkan peralihan undi memandangkan ia memberi manfaat kepada parti yang lebih kuat di kawasan itu.
Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre berkata pengundi cenderung tertarik kepada parti yang menang.
“Jadi di mana PAS kuat (Kedah, Kelantan dan Terengganu), pengundi yang tidak mahu mengundi BN beralih kepada PAS. Dan di negeri lain, mereka beralih kepada PH dan dengan itu melemahkan kekuatan BN,” katanya.
Ibrahim berkata pengundi “asal” pembangkang kekal dengan PAS sementara “gelombang kedua” pengundi pembangkang beralih kepada PH. – 21 Mei, 2018.
Komen