SEBELAS hari selepas pilihan raya, 11 hari selepas rakyat menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk kuasa di Putrajaya, barulah Najib Razak mula naik pentas dan bercakap mengenai kekalahan partinya kepada Pakatan Harapan (PH).
Ucapan bekas perdana menteri itu di Pekan, Pahang semalam adalah yang pertama sejak beliau hilang kerajaan dan jawatan, sementara partinya pula hanya tinggal berkuasa di tiga negeri, atau mungkin sebenarnya dua.
Ucapan Najib ini panjang berbanding dua kenyataan ringkas kepada media sebelum ini; yang pertama, tujuh jam selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan yang kedua, ketika mengumumkan letak jawatan presiden Umno dan pengerusi BN.
Ucapan semalam juga dibuat sehari selepas beliau membayangkan sikapnya mengenai kekalahan BN dalam satu wawancara dengan media. Dalam wawancara itu beliau memberi reaksi terhadap apa yang berlaku selepas terpelanting daripada kuasa, terutamanya siasatan pihak berkuasa terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam ucapannya di hadapan para penyokongnya di Pekan yang selama empat dekad ini menjulang beliau ke puncak kuasa sejak umurnya 23 tahun, Najib menunjukkan sikap sebenar beliau tentang PRU14.
Beliau memberikan analisisnya terhadap keputusan PRU14, kenapa BN kalah dan kenapa PH menang.
Daripada butir ucapannya, ternampak Najib tidak dapat menerima hakikat kuasa betul-betul sudah disentap daripada tangannya. Mulutnya mengaku kalah tetapi isi ucapannya penuh dengan rasa tidak puas hati.
“Saya tidak ralat kalau kita kalah kerana pihak yang satu lagi ada agenda yang lebih baik,” katanya.
Tetapi beliau mengaku terkilan kerana BN kalah kepada PH yang kononnya menyebar kempen fitnah dan menabur janji manis yang tidak mungkin boleh dilaksanakan.
Medan pilihan raya tidak ditandingi dengan adil, katanya. PH berjaya kerana memburuk-burukkan pemimpin, katanya lagi, dan BN jadi mangsa kempen “karut marut, caci maki dan fitnah” sehingga “kebenaran tewas kepada kebatilan.”
Najib, peminat kelab Inggeris Manchester United, menyamakan PRU14 yang baru lalu seperti perlawanan bola sepak.
“Kita main bersih. Mereka main foul (kotor). Yang main foul itu yang menang.”
Itu analisis Najib tentang PRU14.
Dengan analisisnya itu, Najib menganggap 65% pengundi yang tidak memilih BN pada pilihan raya lalu sebenarnya telah salah pilih.
Dengan analisisnya itu, Najib menggambarkan setiap dua daripada tiga pengundi yang mengundi PH langsung tidak tahu berfikir sendiri dan sudah kena tipu dengan Dr Mahathir Mohamad – orang tua berumur 93 tahun yang diejek-ejeknya sepanjang kempen PRU14.
Najib terlupa agaknya, yang ternampak main foul atau main kotor, khianat dan curang itu sebenarnya BN, bukannya PH.
Itulah yang rakyat rasa apabila melihat beberapa perkara yang kerajaan Najib buat sebelum pilihan raya – daripada proses persempadanan semula sampailah kepada pemilihan hari pengundian oleh SPR pada tengah minggu dan penolakan dua tiga orang calon PH dengan alasan yang mencurigakan.
Malah apabila Najib mengatakan pilihan raya itu tidak adil kerana parti-parti yang bertanding sepatutnya bersaing dari segi idea, beliau memang betul-betul sudah salah skrip.
Pertembungan idea bagaimanakah yang Najib maksudkan ketika segala ruang untuk mempertembungkan idea BN dan PH hampir tertutup rapat sepanjang musim kempen menuju PRU14? Hampir kebanyakan media di Malaysia ternampak seperti baru kenal parti-parti dalam PH selepas PRU14. Pertembungan idea apa bendanya?
Apa punya mengarut macam ini, sebelas hari selepas rakyat bersuara?
Sebelas hari selepas terpelanting daripada kerusi kuasa, Najib nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat yang berkuasa sebenarnya adalah rakyat.
Dalam ucapannya, Najib berkata beliau akan terus berkhidmat untuk Umno walaupun sudah tiada jawatan dalam parti. Katanya, Umno mesti dibangunkan semula. Katanya lagi, Umno mesti bangkit untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.
Tetapi, Umno kena beringat. Kalau parti itu mahu bangkit semula, ia tidak boleh terbuai dengan naratif yang diketengahkan oleh Najib. Ini naratif orang kalah yang masih berjaga dalam mimpi.
Umno tidak boleh ikut cara Najib. Jangan. Umno mesti lebih jujur dan berlapang dada berbanding bekas ketuanya itu. Umno mesti merenung jauh ke dalam diri dan mengenal pasti langkah yang sumbang dan rentak yang pincang.
Umno mesti mengikhlaskan takdir yang sudah terhukum ke atasnya.
Yang sudah, sudahlah. Yang di belakang, tinggalkan di belakang. Yang di hadapan, hadapilah dengan penuh keinsafan.
Malaysia baru hari ini menunggu PH mengotakan segala janji pilihan raya. Tetapi Malaysia baru hari ini, suka atau tidak, juga menunggu untuk Umno bangkit semula dan jadi pembangkang yang berwibawa.
Untuk jadi pembangkang yang berwibawa, Umno tidak boleh terus menerus menyalahkan orang lain kerana kalah pilihan raya. Umno mesti bercermin dan melihat keburukannya sendiri, dan membersihkan keburukan itu. – 21 Mei, 2018.
Komen