Geledah kediaman Najib cubaan Pakatan alih perhatian, kata akar umbi


The Malaysian Insight

TIDAK puas hati dengan tindakan pihak berkuasa yang menggeledah kediaman bekas perdana menteri Najib Razak, akar umbi Umno menyifatkan perbuatan itu  seperti cubaan mengalih perhatian orang ramai daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Tashreeq Abdul Rashid memberitahu Malaysia Decides, tindakan tersebut memperlihatkan Najib seolah-olah seseorang yang melakukan jenayah sebelum beliau terbukti bersalah.

“Sekurang-kurangnya layanlah dia macam seseorang yang pernah menyumbang kepada negara sebab dia pernah menjadi perdana menteri sebelum ini.

“Kerajaan baru sekarang ni kata nak bawa perubahan pada negara. Jadi mereka perlulah tunjuk nilai-nilai murni pada rakyat dan ini masa yang sesuai untuk tunjukkannya,” katanya yang merasakan semua pemimpin terdahulu juga pernah melakukan kesilapan masing-masing.

Tashreeq yang merupakan ahli Umno Cawangan Seputeh berpendapat, berikan ruang untuk perdana menteri yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad itu disiasat dan beri penjelasan bagi pihaknya tanpa dilayan dengan biadap.

Pada awal pagi Jumaat, polis merampas 284 kotak berisi beg tangan dan 72 beg berisi wang tunai, barang kemas, jam tangan serta barangan berharga dari pangsapuri mewah di Pavilion Residences.

Seorang lagi akar umbi Umno dari cawangan Tanjung Malim turut senada dengan Tashreeq bahawa niat kerajaan sedia ada bertindak sedemikian terhadap Najib adalah bertujuan mencemarkan reputasinya.

Beliau yang enggan dikenali itu berkata, dengan menggeledah kediaman bekas perdana menteri keenam itu, secara tidak langsung PH dapat menutup tuduhan mereka sebelum ini yang melabelkan Malaysia sebuah negara yang gagal.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) cuba untuk mengalih pandangan orang ramai daripada tertumpu kepada kegagalan beliau membuktikan Malaysia bakal bankrap. Dia sudah gagal buktikannya.

“Kenyataan rasmi dari Bank Negara menidakkan dakwaan Dr Mahathir yang Malaysia ni negara yang gagal.

“Negara kita masih okey. Dia cuba tunjukkan yang Najib ni sebagai orang yang jahat, pencuri. Itu niat dia,” katanya.

Manakala berbeza pula bagi Tajul Mohd Tahir, katanya Najib sepatutnya melepaskan jawatannya sejak awal lagi sebelum ia melarat seperti hari ini.

Percaya dengan apa yang diperkatakan media mengenai kemewahan luar biasa Najib itu, menurut ahli jawatankuasa bahagian Umno Cheras itu, orang ramai membenci Barisan Nasional bukan disebabkan parti itu sendiri tetapi kerana bekas presidennya itu.

“Dia dulu lagi sepatutnya kena turun…lepaskan jawatan. Jadi orang BN pun tak adalah marah sangat bila jadi macam ni (kalah).

“Tapi bila dah jadi macam ni…tengok, habis semua keburukan dia kena korek,” katanya.

Kemewahan keluarga Najib serta isterinya Rosmah Mansor yang gilakan beg tangan jenama mewah seperti Hermes dengan harganya boleh mencecah sehingga AS$300,000 (RM1.2 juta) kini tidak lagi rahsia.

Malah kemewahan perbelanjaan keluarga mereka sering kali disamakan dengan keluarga bekas presiden Filipina Ferdinand Marcos yang mengamalkan gaya hidup mewah dengan menggunakan wang rakyat.

Tashreeq menambah, kekayaan keluarga Najib itu tidak seharusnya dipersoalkan memandangkan jawatan yang beliau sandang ketika mentadbir Putrajaya sebelum ini.

“Bila kamu ada jawatan, orang akan suka buat bisnes dengan kamu. Keluarga-keluarga perdana menteri terdahulu juga kaya, kenapa tak persoalkan? Hanya kerana terdapat dakwaan terhadap Najib, orang ramai boleh sesuka hati hukumi dia?” Soalnya.

Seorang lagi ahli Umno dari Johor yang enggan mendedahkan namanya pula memilih untuk menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang andaian.

Polis dilaporkan turut menyerbu enam lagi premis dan merampas beberapa dokumen yang ada kaitan dengan skandal syarikat pelaburan 1MDB.– 21 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen