AMARAN bahaya ditingkatkan ketika pembunuh yang disabitkan tuduhan Sirul Azhar Umar melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2015.
Bagaimana pihak berkuasa membenarkan suspek kes bunuh yang jadi perhatian ramai itu meninggalkan negara tanpa dapat dikesan?
Rakyat Malaysia akhirnya akan mendapat jawapan bagi persoalan itu.
Siasatan polis ke atas bekas perdana menteri Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mendedahkan adanya agensi risikan yang berkuasa di Pejabat Perdana Menteri yang mereka percaya merupakan dalang yanag membuka jalan kepada Sirul untuk lari.
Sumber memberitahu Malaysia Decides yang pasukan penyiasat percaya unit terbabit menyediakan bantuan kewangan kepada Sirul sepanjang beliau berada di Australia.
Penyiasat juga maklum yang Jabatan Penyelidikan wujud sebelum Najib menjadi perdana menteri lagi tetapi sejak beberapa tahun lalu ia banyak menjalankan operasi rahsia untuk mengekalkan kuasa beliau.
Difahamkan unit terbabit turut memiliki rakaman video Sirul yang mengaku melakukan pembunuhan itu tetapi membebaskan Najib daripada sebarang penglibatan dalam kes berkenaan.
Berikutan kekalahan Barisan Nasional pada PPRU14, Sirul menawar diri untuk mendedahkan segala yang dia tahu tentang pembunuhan Altantuya dengan syarat kerajaan baharu Pakatan Harapan menawarkan pengampunan penuh kepadanya.
Namun, Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh menentang sebarang perjanjian Putrajaya dengan pembunuh berkenaan.
“Tawaran itu satu penghinaan kepada mendiang dan sepatutnya tidak dilayan langsung,” kata Ramkarpal yang juga ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor.
“Tidak ada penyesalan daripada Sirul terutamanya apabila pembunuhan itu dilakukan dengan cara yang sangat keji.”
Ramkarpal berkata “tidak mungkin” Sirul mempunyai pengetahuan peribadi tentang apa yang berlaku, dan menyebut bukti dari perbicaraan pembunuhan 2009 menunjukkan Azilah (bekas komando polis Azilah Hadri) memainkan peranan yang lebih besar.
Altantuya dibunuh dengan ditembak di kepala sebelum badannya diletupkan menggunakan bahan letupan milik tentera di pinggir Kuala Lumpur.
Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan pada 2009 dan dihukum gantung. Mereka kemudiannya dibebaskan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan pada 2013 selepas timbul persoalan tentang bagaimana perbicaraan dijalankan.
Tetapi Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati mereka pada 2015. Sirul melarikan diri ke luar negara sebelum keputusan itu. – 21 Mei, 2018.
Komen