Kita kalah kerana enggan beri janji tidak realistik, kata Najib 


The Malaysian Insight

KEKALAHAN Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 adalah kerana mereka tidak membuat “janji manis dan tidak realistik” seperti Pakatan Harapan, kata bekas presidennya Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata BN sentiasa mengambil jalan yang tinggi, dan hanya menjanjikan perkara yang boleh mereka tunaikan.

“Saya terlalu baik. Rakyat caka saya terlalu baik untuk percayakan politik. Walaupun kita tewas, kita tetap berpegang kepada prinsip. Kita adalah parti yang ada kehormatan,” kata Najib ketika berucap di Umno Pekan hari ini.

Bekas presiden Umno itu berkata, PH mengamalkan “politik Machiaveli” yang membuat janji manis yang tidak realistik.

“Ia hanya untuk cemarkan nama baik pemimpin dan janji manis yang tidak akan dipenuhi.

“Kempen mereka hanya berdasarkan serangan peribadi, menyebarkan fitnah dan kebencian,” kata Najib.

Beliau berkata, antara janji “palsu” yang dibuat oleh PH termasuklah mengurangkan harga minyak selepas mereka membentuk kerajaan.

Katanya, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut menuduh beliau mahu mengisytiharkan darurat sekiranya BN kalah, yang mana ianya tidak benar.

“Ada yang mengatakan saya tidak akan menyerahkan kuasa secara aman, yang saya akan isytihar darurat, tapi itu tidak berlaku,” tambah Najib.

Walaupun kalah, Najib menggesa Umno dan BN agar tidak menyerah kalah dalam pakatan itu.

“Saya sedia menerima kekalahan dengan hati yang terbuka searang kkta perlu terus berjuang untuk rakyat dan kita perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa kita ikhlas,” katanya. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen