BEKAS perdana menteri Najib Razak menegaskan kepada anggota akar umbi partinya bahawa beliau bukanlah pencuri seperti yang digambarkan kerajaan.
Anak kepada perdana menteri kedua itu sebaliknya berkata beliau menjadi sasaran fitnah kerana memimpin parti kerajaan sebelum ini.
“Kita bukan keturunan orang yang menipu duit rakyat dan saya bukan mencuri harta rakyat.
“Saya jadi sasaran sebab saya presiden parti. Mereka buat apa saja asal jenama saya rosak,” katanya dalam ucapan di Pekan hari ini.
Tambahnya kekalahan dalam pilihan raya 9 Mei juga disebabkan oleh berita palsu.
“Saya tidak ralat kalau kalah jika lawan ada agenda lebih baik.
“Tapi kita bukan kalah disebabkan agenda atau dasat tapi kempen memburukkan pemimpin dan janji manis yang tak dapat ditunai,” katanya.
Ucapannya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan bahagian dan sayap parti berkenaan merupakan pertemuan sulung dengan akar umbi Umno Pekan sejak kalah dalam pilihan raya 9 Mei.
Najib kini disekat ke luar negara dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (Amla).– 20 Mei, 2018.
Komen