LAIN yang diharap lain pula yang dapat, begitulah yang boleh diperkatakan mengenai wawancara pertama isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilihat mengundang lebih banyak cemuhan daripada simpati di media sosial.
Pengguna media sosial menghentam beliau kerana dilihat cuba untuk meraih simpati, sedangkan menutup cerita kehidupan mewahnya dalam wawancara bersama Malay Mail yang disiarkan hari ini.
“Isteri dan suami berpura-pura sedih seperti tidak bersalah. Dan mengharapkan simpati, tanpa sedikit pun rasa bersalah di atas apa yang mereka telah lakukan terhadap negara,” kata pengguna Facebook Murali Subramaniam.
Seorang lagi pengguna laman sosial itu Sharen Cheah-Breadfield berkata beliau tidak percaya yang Rosmah tidak menyimpan sebarang dendam.
“Hah! Dia tak simpan dendam! Lihat sendiri bagaimana dia layan anak perempuan dia. Entah-entah dia kenakan santau pada yang sakitkan hati dia,” tulisnya di ruangan komen.
Anak perempuan Rosmah hasil perkahwinan pertamanya, Azrene Ahmad, mendedahkan di Facebook dan Instagram pada 10 Mei, mendakwa Rosmah menganiayanya dan keluarganya.
“Betul kamu tidak kisah? Kamu sangat marah dengan Nurul (Izzah Anwar) kerana tak panggil kamu dengan nama penuh?” kata seorang lagi pengguna Judy Lee.
Pengguna lain menzahirkan rasa tidak percaya yang beliau masih boleh tidur dengan nyenyak walaupun keluarganya dalam keadaan terumbang ambing.
Sementara itu, pengguna Twitter mengubah peribahasa Melayu daripada “cakap tak serupa bikin” kepada “cakap tak serupa birkin”, merujuk jenama beg tangan Hermes Birkins yang dirampas polis dalam serbuan baru-baru ini.
“Najib dan Rosmah suruh kita hidup sederhana tetapi Rosmah ada lebih 200 beg berjenama mahal. Cakap tak serupa birkin,” twit peguam Louis Liaw pada Jumaat yang menerima bilangan twit semula sebanyak 3,900 kali. – 20 Mei, 2018.
Komen