Umno Pekan kutuk 'tindakan jahat' Dr Mahathir pada Najib


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Umno Pekan tidak dapat menerima “tindakan jahat” yang dijalankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke atas ketua bahagian mereka Najib Razak.

Salah seorang ahli jawatankuasa bahagian yang ditemui di kediaman Najib hari ini berkata, mereka tidak dapat menerima bentuk siasatan ke atas pemimpin mereka.

“Jahat betul, persepsi di sini memang tak boleh diterima. Kita percaya ia sengaja diada-adakan untuk kenakan dia,” katanya yang mahu Najib kekal sebagai ketua bahagian.

Beliau percaya siasatan ke atas Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sengaja diada-adakan untuk mengenakan bekas perdana menteri itu.

“Dia bukan bangsa jenis itu,” tegasnya yang turut kesal dengan tindakan polis dalam menggeledah dan merampas barangan dalam siasatan berkenaan.

Tambahnya, kalangan pemimpin dan anggota parti juga kini sedang “merawat jiwa” atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Sekarang kita sedang merawat jiwa. Susah nak terima. Kalah itu satu hal tapi ditohmah lagi (oleh pentadbiran Dr Mahathir), digeledah lagi rumah dia. Apa pun berlaku kita tetap bersama dia,” tegasnya.

Seorang ahli Umno bahagian, Sheikh Shahiri juga berkata mereka masih setia dengan Najib dan tetap mahukan bekas presiden parti itu kekal sebagai ahli Parlimen.

Beliau pula melihat siasatan dan tindakan ke atas Najib seperti satu rampasan kuasa kerana terus disiasat selepas tidak lagi berkuasa.

“Ini macam rampasan kuasa. Selepas kena guling, terus kena siasat. Sepatutnya sudah biarlah kesalahan ini terbukti terlebih dahulu,” katanya yang turut ditemui di perkarangan kediaman Najib di Pekan.

Beliau menyertai kira-kira 200 pemimpin parti dan penyokong yang menyambut ketibaan Najib di Pekan, kunjungan pertamanya selepas tewas dalam pilihan raya.

Antara sepanduk yang dinaikkan penyokong semasa ketibaan Najib berbunyi sokongan terhadap pemimpin itu “sehingga mati” dan menggesa pemimpin Umno yang menyalahkan presiden terdahulu agar meletakkan jawatan.

Mereka turut bersorak “hidup Najib” ketika beliau tiba di sini.

Terdapat juga sekumpulan Orang Asli, India dan Cina hadir menyatakan sokongan kepada Najib walaupun ia adalah acara anjuran Umno, yang merupakan parti Melayu.

Najib dijangka akan berucap kepada ahli dan pemimpin bahagiannya dalam mesyuarat di Pekan petang ini.  – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen