Azmin jadi MB atau menteri kabinet diketahui esok


The Malaysian Insight

KEDUDUKAN Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor akan diketahui esok apabila Sultan Selangor mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya pagi esok, lapor Bernama.

Azmin hari ini mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan kedudukannya selepas dinamakan sebagai anggota jemaah menteri kabinet Dr Mahathir Mohamad. Pertemuan mereka berlangsung lebih kurang dua jam.

“Saya menghadap Tuanku Sultan hari ini dan menyembah maklum mengenai perkembangan terkini (mengenai kedudukan sebagai menteri besar).

“Majlis menghadap  berjalan dengan cukup positif dan Tuanku akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedudukan saya sebagai menteri besar pukul 9 pagi esok,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dr Mahathir menamakan Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam kabinetnya, Jumaat lepas.

Kabinet itu akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong pukul 5.30 petang esok.

Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei lepas, dua hari selepas menerajui Pakatan Harapan Selangor mempertahankan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-14.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu turut mempertahankan kerusi Parlimen Gombak.

Malaysia Decides difahamkan dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk menggantikan Azmin. Mereka ialah Adun Seri Setia, Prof Shaharuddin Badarudin yang juga Naib Presiden PKR dan Adun Sungai Tua (dulunya Batu Caves), Amiruddin Shari yang juga exco negeri. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen