Najib bukan minta diberi perlindungan saksi, kata jurucakap


The Malaysian Insight

NAJIB RAZAK bukan meminta beliau diletakkan di bawah perlindungan saksi dalam siasatan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sebaliknya meminta perlindungan keselamatan ke atas dirinya dan keluarga selepas Pilihan Raya Umum ke-14 selesai, lapor Bernama.

Bekas perdana menteri itu menafikan laporan portal berita Malay Mail semalam yang mengatakan beliau meminta diberikan perlindungan sebagai saksi dalam siasatan berhubung skandal kerana hidupnya kini terancam.

“Sebaliknya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membuat laporan polis untuk memohon perlindungan polis bagi dirinya dan keluarga kerana bimbang akan keselamatan mereka selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14,” kata jurucakap beliau dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Laporan Malay Mail itu, yang kemudiannya dipetik oleh banyak media termasuk akhbar yang terbit hari ini, mengatakan Najib melalui sumbernya mengetahui ada ancaman terhadap dirinya dari dalam dan luar negara, daripada orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan 1MDB.

Malay Mail dalam laporan eksklusifnya semalam mengatakan Najib membuat laporan di ibu pejabat polis Sentul pada pukul 5 petang kelmarin dan menyebut ia melihat laporan polis berkenaan.

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu memaklumkan Najib akan didakwa berhubung skandal 1MDB dan tiada ruang untuk rundingan dengan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa diseleweng daripada dana tersebut.

Najib adalah juga bekas menteri kewangan yang bertanggungjawab terus kepada dana pelaburan milik kerajaan itu.

Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin beberapa hari lalu juga mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti perkara berkaitan 1MDB. Jawatankuasa lima anggota itu dipengerusikan bekas peguam negara, Abu Talib Othman yang juga pengerusi Suhakam.

Najib kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau dan isteri, Rosmah Mansor juga sebelum ini disekat oleh Imigresen daripada ke luar negara.

Selasa ini, Najib dipanggil untuk dirakamkan keterangannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya bagi siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Polis beberapa hari lalu menyerbu beberapa premis termasuk bekas pejabat Najib di Jabatan Perdana Menteri serta kondominium mewah di tengah Kuala Lumpur. Hasil serbuan polis merampas sejumlah beg tangan, barangan kemas, wang tunai dan beberapa barangan lain yang belum diisytiharkan bagi membantu siasatan. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen