KES rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung pembelian bunglow di Jalan Pinhorn akan disambung semula esok.
Difahamkan bahawa perbicaraan itu ditetapkan untuk sebutan kes esok, hari sama Lim mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan.
Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu di Pulau Pinang pagi ini, Lim sekali lagi enggan menjawab, menegaskan yang ia subjudis.
Beliau hanya berkata: “Saya sudah berkali-kali menegaskan yang ia adalah penganiayaan politik terhadap saya dan kerajaan terdahulu.
“Sama-sama kita tunggu keputusan mahkamah esok.”
Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd dalam mesyuarat pada 18 Julai 2014.
Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Lim berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara, denda lima kali ganda daripada jumlah suapan, atau denda RM10,000, yang mana lebih tinggi nilainya, jika didapati bersalah.
Lim turut dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah bunglow dari Phang Li Khoon, dengan harga RM2.8 juta, sedangkan harga pasaran hartanah tersebut bernilai RM4.27 juta pada 28 Julai 2015 - kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dikenakan perjara tidak lebih dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Phang, yang merupakan pengarah di Magnificent Emblem, turut dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim berhubung pembelian rumah berkenaan.
Beliau berhadapan hukuman sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika didapti bersalah.
Kes berkenaan dalam perbicaraan selama tiga hari pada Mac lepas dan pihak pendakwa raya sudah memanggil 25 daripada 55 saksi.
Perbicaraan ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sidang Dewan Rakyat dan PRU14. – 20 Mei, 2018.
Komen