Petisyen sokong Dr Maszlee Malik jadi Menteri Pelajaran dapat sambutan


The Malaysian Insight

PETISYEN dalam talian mendukung pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pelajaran mendapat sokongan memberangsangkan sejak dibuka semalam.

Petisyen yang dilancarkan oleh Nurul Fitrah Merican di change.org itu mendapat sokongan lebih 84,500 orang setakat pukul 2.30 petang ini.

Petisyen menyokong Dr Maszlee ini muncul selepas ada satu lagi petisyen lain yang mahu Dr Mahathir kekal sebagai Menteri Pelajaran walaupun bertentangan dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan.

Dr Maszlee dinamakan sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas.

Dr Mahathir sehari sebelum itu mengumumkan dirinya memegang portfolio pelajaran yang digabungkan dengan portfolio pendidikan tinggi.

Beliau bagaimanapun kemudian melepaskan portfolio tersebut kerana manifesto Pakatan Harapan menyatakan perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain sebagai menteri.

Langkah Dr Mahathir menamakan Dr Maszlee bagaimanapun mencetuskan polemik kerana dicurigai latar belakangnya yang berpendidikan Islam dan dikatakan cenderung kepada aliran Salafi yang kononnya tidak mesra dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipegang di Malaysia.

Beliau juga dicurigai kerana dikatakan pernah mempertahankan pendakwah antarabangsa kontroversi Dr Zakir Naik yang didakwa terkait dengan tuduhan menyebar fahaman melampau di India.

Dr Maszlee, 44, yang menyertai politik Mac lepas, menang kerusi Parlimen Simpang Renggam mengetepikan Setiausaha Gerakan, Liang Teck Meng yang juga penyandang sejak 2008 dengan kelebihan 3,475 undi.

Bekas pensyarah di jabatan fiqh dan usul fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu terkenal sebagai pengkaji gerakan Islam di Malaysia, serta penganalisi politik Asia Barat dan politik Islam yang sering muncul di media dan platform wacana awam. – 20 Mei, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen