Pakatan terapkan sistem telus dalam soal kewangan negara, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA di bawah Pakatan Harapan (PH) akan menerapkan sistem “open book”, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Kerjaan PH katanya akan memastikan maklumat atau fail berkaitan kewangan negara tidak dirahsiakan seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Lim.

“Kita harus meneliti penyata kewangan yang telah diumumkan, untuk mengetahui sama ada ia tepat atau tidak.

“Daripada pemerhatian saya, ada beberapa perkara tidak sama dengan yang diumumkan… kita harus berhati-hati,” katanya dalam lawatan ke Tech Dome Penang di Komtar awal hari ini.

Lim, yang akan mengangkat sumpah sebagai menteri esok, tidak mengulas lanjut apa yang dilihatnya dalam akaun tersebut. Beliau enggan mengulas tentang pelantikannya oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami perlu dapatkan semua maklumat dan laporan kewangan. Itu yang paling penting.

“Kami harus pastikan tidak ada maklumat atau fail yang disembunyikan. Kita mahukan sistem ‘open book’.”

Ini bukan pertama kali Lim membangkitkan tentang masalah kewangan negara.

Isnin lepas, dalam ceramah mega pasca PRU14 di Pulau Pinang, Lim berkata selepas beliau berbincang dengan pegawai dari agensi di bawah Kementerian Kewangan dan melihat akaun, beliau mendapati “terdapat perkara yang kami tidak pernah tahu sebelum ini”

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri hal ehwal ekonomi, Lim berkata tugas itu tidak harus bertindih dengan portfolionya. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen