Jangan tawar rundingan pada Sirul untuk maklumat kes Altantuya


The Malaysian Insight

BEKAS polis Malaysia Sirul Azhar Umar tidak sepatutnya diberikan pengampunan penuh sebagai pertukaran untuk keterangannya tentang kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata peguam hari ini.

Sirul yang ditahan di Australia berkata beliau sanggup membantu dalam siasatan pembunuhan model Mongolia itu pada 2006 dengan mendedahkan “apa sebenarnya yang berlaku”, dengan syarat kerajaan baharu memberikan Sirul pengampunan penuh.

“Tawaran itu menghina Altantuya dan tidak sepatutnya dilayan langsung,” kata Ramkarpal Singh yang juga ahli Parlimen DAP dari Bukit Gelugor.

“Tidak ada langsung tanda penyesalan daripada Sirul khususnya pembunuhan itu dilakukan dalam keadaan yang sangat teruk,” katanya, menambah Sirul pernah mendakwa beliau pernah membunuh orang lain kerana mengikut arahan.

Ramkarpal berkata tidak mungkin Sirul mempunyai pengetahuan peribadi tentang apa yang berlaku pada malam pembunuhan itu, berkata bukti daripada perbicaraan pada 2009 menunjukkan bahawa seorang lagi bekas pegawai polis iaitu Azilah Hadri memainkan peranan lebih besar.

Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya.

Ramkarpal berkata bakal saksi yang berpotensi untuk disoal siasat pada perbicaraan semula ialah bekas pegawai polis Musa Safri yang tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan dan Abdul Razak Baginda, yang tidak memberi keterangan.

“Dalam keadaan ini, mungkin apa yang Sirul tahu, jika adapun hanya khabar angin dan berdasarkan kepada apa yang diberitahu oleh Azilah,” katanya.

Rampkarpal berkata apa yang kerajaan boleh tawarkan ialah menjadikan hukuman mati yang dikenakan terhadap Sirul pada 2009 ialah penjara seumur hidup di penjara Kajang.

Sebaik saja Sirul kembali ke tanah air, beliau perlu bekerjasama dengan siasatan polis atau Suruhanjaya Siasatan Diraja dan jika perlu, tampil sebagai saksi terhadap siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

“Fakta kekal bahawa Sirul dan Azilah membunuh Altantuya dalam keadaan yang menakutkan,” kata Ramkarpal.

“Oleh itu, Sirul bukan dalam kedudukan yang membolehkannya memberi tawaran untuk mendapatkan jalan keluarnya atas tragedi itu.

“Beliau juga perlu dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mensabitkannya dan Azilah bersalah dalam pembunuhan Altantuya pada 2015.

Australia mungkin tidak akan mengekstradisi Sirul yang pada masa ini ditahan oleh pihak berkuasa imigresen kerana negara itu menentang hukuman mati. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen