Rosmah tak salahkan rakan yang berpaling tadah


The Malaysian Insight

ROSMAH Mansor tidak menyimpan dendam terhadap rakan yang berpaling tadah terhadapnya dan suaminya Najib Razak susulan kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.

“Biasalah dalam politik. Bila kamu di atas, semua sayang, tapi bila ada masalah, sudah dijangka. Ia sebahagian daripada hidup,” katanya.

“Saya tidak kisah. Ia OK. Setiap orang ada hak untuk cakap apa yang hendak dicakap,” katanya seperti dipetik dalam wawancara eksklusif bersama Malay Mail.

Isteri kepada bekas perdana menteri itu berkata beliau kini sedang fokus melindungi keluarganya dan tidak tergugat walaupun kediamannya di Jalan Langgak Duta diserbu polis.

“Kami hadapinya dengan agak baik. Saya rasa kami agak releks, maklumlah keluarga ahli politik. Ini hanya salah satu daripada dugaan dan cabaran, bahaya dalam politik,” kata Rosmah kepada Malay Mail.

Menurut Rosmah, beliau meminta polis supaya melayannya dan keluargannya dengan baik sebagai rakyat Malaysia yang dijamin haknya.

“Saya boleh hadapi serbuan awal-awal pagi. Saya faham.

“Saya percaya seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Apa-apa pun, kami harus dilayan seperti manusia biasa. Secara bermaruah.”

Polis menyerbu enam premis yang ada kaitan dengan Najib antara Rabu dan Khamis. Serbuan itu berhubung siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), di mana Najib dituduh mencuri berbilion ringgit wang firma tersebut.  

Rosmah, menerusi peguamnya, semalam berkata gambar serbuan di kediaman peribadinya bocor di media sosial sehingga dijadikan bahan jenaka dan mendatangkan kemarahan rakyat terhadap beliau dan suaminya.

Awal Khamis, polis membawa keluar 284 kotak berisi beg tangan berjenama mewah dan 72 beg berisi wang tunai, barang kemas, jam tangan dari pangsapuri mewah di Pavilion Residences yang dipercayai dimiliki Najib dan Rosmah.  – 20 Mei, 2018.

 



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen