Peguam berbeza pandangan berhubung perlindungan saksi untuk Najib


The Malaysian Insight

PEGUAM berbeza pandangan mengenai sama ada perlindungan saksi harus diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang mendakwa dirinya terancam selepas polis mendedahkan barangan yang dirampas dari sebuah pangsapuri mewah di ibu kota pada Jumaat.

Najib membuat laporan di ibu pejabat polis Sentul pada Jumaat mendakwa dirinya dan ahli keluarganya diancam oleh individu dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selama tiga hari, sejak malam Rabu, serbuan polis di beberapa premis termasuk di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Taman Duta dan dua pangsapuri mewah di Pavilion Residences, Kuala Lumpur mendapat liputan meluas media.

“Dia adalah suspek! Dia bukan saksi. Tidak pernah dengar perkara merepek seperti itu,” kata peguam Latheefa Koya, yang juga merupakan ahli majlis kepimpinan pusat PKR.

Peguam Anwar Ibrahim, Gurdial Singh Nijar berkata: “Jika dia seorang suspek, jadi dia tidak layak. Perlindungan saksi adalah untuk saksi yang akan beri keterangan dalam kes terhadap tertuduh.”

“Hanya saksi sebenar dan berpontensi layak. Najib harus tunggu dan lihat sama ada dia akan didakwa selepas bukti dikumpul dan kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara.”

Rakyat Malaysia menzahirkan rasa marah dan jijik berhubung laporan rampasan oleh polis yang dibuat secara umum pada awal Jumaat.

Polis Kuala Lumpur berkata mereka merampas 72 beg pelbagai saiz berisi wang tunai dalam beberapa mata wang asing. Mereka juga merampas 284 beg tangan mewah bernilai jutaan ringgit.

Peguam jenayah memberitahu Malaysia Decides Akta Perlindungan Saksi 2009 boleh terpakai terhadap Najib walaupun dia merupakan suspek utama dalam siasatan polis berhubung skandal 1MDB.

“Dia layak. Hidupnya terancam,” kata Rajsurian Pilai.

“Dia bukan sahaja suspek dalam siasatan yang sedang berjalan, dia juga saksi dalam kesnya sendiri dan juga kes pesalah lain.

“Ini bermaksud, jika ada tuduhan jenayah terhadap sesiapa yang disuspek melakukan kesalahan, Najib boleh jadi saksi untuk kes itu.

“Oleh sebab itu logik ada orang didakwa mengancam dia. Dia akan jadi saksi pihak pendakwaan terhadap pesalah lain.”

Tambah Rajsurian ia terpulang kepada bidang kuasa polis sama ada untuk memberikan perlindungan tersebut.

Akta Perlindungan Saksi 2009 menakrifkan saksi sebagai individu yang telah memberikan atau bersetuju untuk memberikan bukti bagi pihak kerajaan dalam prosiding jenayah atau melibatkan perlakukan sesuatu kesalahan.

Saksi juga boleh ditakrifkan sebagai individu yang memberikan sebarang maklumat, kenyataan atau bantuan kepada pegawai awam atau pihak berkuasa awam berhubung sesuatu kesalahan.

Saksi yang bimbang nyawanya diancam boleh menghantar permohonan untuk perlindungan menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Unit Perlindungan Saksi yang di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.  

Menurut laman web SPRM, perlindungan diberikan kepada individu yang boleh memberikan keterangan, kepada agensi dan dalam mahkamah, berdasarkan apa yang diketahui membabitkan sebarang jenayah, termasuk rasuah dan pemindahannya.

Individu berkenaan akan dikenal pasti sebagai saksi semasa siasatan dan testimoninya boleh digunakan sebagai bukti.  – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen