KERAJAAN Pakatan Harapan harus mengambil alih belian kuasa pengurusan (MBO) konsesi tol dan menjadikan laluan jalan raya dan lebuh raya percuma bagi memanfaatkan rakyat, kata wakil rakyat PKR Wong Chen seperti dilapor Bernama.
Bernama memetik ahli Parlimen Subang itu sebagai berkata yang pelakasanaan itu, jika digabungkan dengan semakan pembayaran tol yang akan diumumkan awal minggu hadapan, akan meringankan beban kewangan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang.
Beliau berkata MBO boleh diambil alih dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, selepas kerajaan baru menyatukan kedudukan kewangannya.
“Sama ada kita mampu untuk membeli semua konsesi tol dan menjadikan ia percuma adalah isu berkenaan prinsip kehati-hatian fiskal dan apa yang menjadi keutamaan ekonomi,” katanya.
Wong berkata dengan semakan kadar tol, pengguna akan membayar kurang daripada kadar asal, yang disifatkannya sebagai satu permulaan untuk meringankan bebanan rakyat.
Wong turut mencadangkan supaya kerjaan mengambil alih MBO yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sebelum ini dikritik kerana bersaing dengan sektor swasta.
Beliau berkata pengurus GLC harus memastikan syarikat berkenaan mengaut keuntungan dan menyalurkannya kepada kerajaan Persekutuan bagi membayar balik hutang negara serta membantu rakyat.
Berkenaan sama ada terdapat keperluan mendesak untuk memecahkan monopoli atau kartel dalam sektor tertentu bagi mewujudkan persaingan sihat, Wong berkata pembatalan kawal selia boleh dilaksanakan dan memastikan tidak membuat untung secara berlebihan.
“Saya rasa pendekatan ini adalah mengenai sama ada mereka membuat terlalu banyak keuntungan dengan menindas pengguna,” tambahnya.
Wong berkata perlesenan boleh dikurangkan melalui pembatalan kawal selia untuk mewujudkan persaingan rancak, seperti dalam sektor telekomunikasi.
Katanya lagi ahli politik tidak harus memegang sebarang jawatan dalam GLC, dan syarikat tersebut harus dipisahkan terus daripada pengaruh kerajaan.
Wong berkata monopoli adalah perkara biasa dalam lanskap perniagaan Malaysia, di mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti politik sebenarnya adalah kartel yang merupakan pemegang konsesi lebuh raya bertol serta telekomunikasi. – 20 Mei, 2018.
Komen