UMNO harus diberi peluang untuk bangkit menjadi pembangkang yang berkredibiliti, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
“Tanyalah pengundi, mereka tidak mahu Umno dibatalkan pendaftarannya dan tak akan terima Umno masuk Pakatan Harapan. Beri peluang Umno bangkit buat kali pertama jadi pembangkang yang berkredibiliti,” kata Khairy dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bekas veteran Umno Rafidah Aziz bahawa Umno adalah parti haram kerana melanggar perlembagaan sendiri dengan sengaja melewatkan pemilihan parti.
Khairy berkata serangan itu harus dihentikan atas semangat demokrasi.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rembau itu tidak menyatakan bilakah Umno akan mengadakan pemilihan parti.
Parti berkenaan menerima kritikan daripada pemimpin akar umbinya selepas kalah teruk dalam pilihan raya pada 9 Mei, menang hanya 54 kerusi berbanding 88 kerusi pada 2013.
Terdapat suara yang mendesak agar kepimpinan tertinggi parti tersebut, termasuk Khairy, supaya meletakkan jawatan. – 20 Mei, 2018.
Komen