Rosmah harus biasakan hidup tanpa Hermes, barang kemas


The Malaysian Insight

ROSMAH Mansor datang daripada latar belakang sederhana, namun ia sekelip mata berubah selepas beliau mengahwini bekas perdana menteri Najib Razak pada 1987.

The Straits Times menerusi laporannya hari ini menjejak perjalanan seorang anak tunggal kepada pasangan guru di Negeri Sembilan yang berubah menjadi seorang yang gilakan beg tangan berjenama mewah Hermes, dan menjalani hidup ala bangsawan sehingga dikatakan menjadi penyebab kejatuhan pentadbiran Barisan Nasioanal (BN) selama 60 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pada awal pagi Jumaat, pihak polis mengeluarkan 284 kotak berisi beg tangan dan 72 beg berisi wang tunai, barang kemas, jam tangan serta jongkong emas dari pangsapuri mewah di Pavilion Residences.

Polis dilaporkan turut menyerbu enam lagi premis dan merampas beberapa dokumen yang ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Rampas itu membuka mata rakyat Malaysia mengenai bagaimana Rosmah sudah “tersasar jauh daripada realiti rakyat” dan sekali gus mengakhiri khabar angin tentang perbelanjaan mewah pasangan tersebut ketika rakyat Malaysia bergelut dengan kos sara hidup dan menerima pendapatan menengah (median income) kurang daripada RM2,000 sebulan.

Kegilaan Rosmah terhadap beg tangan, terutama jenama Hermes Berkins, yang harganya mencecah AS$300,000 (RM1.2 juta) sudah lama menjadi buah mulut di Malaysia, kata akhbar Singapura itu.

Pun begitu, bekas perdana menteri berkenaan bukan sahaja memilih untuk hidup berlebih-lebihan, tetapi juga menerima berbilion ringgit wang yang didakwa diseleweng daripada dana firma pelaburan negara 1MDB.

Pada Khamis lepas, sekeping gambar yang menunjukkan Najib dan Rosmah sedang lena tidur di ruang tamu sementara menunggu polis melakukan proses menggeledah di kediaman mereka di Taman Duta menjadi tular.  

Pengguna maya tanpa belas kasihan menghamburkan perasaan marah dan benci terhadap pasangan tersebut yang didakwa mereka cuba meraih simpati.  

Semalam, Rosmah mengeluarkan satu kenyataan menggesa pihak berkuasa supaya tidak membiarkan maklumat mengenai serbuan tersebut bocor, sambil menegaskan bahawa keluarganya dihakimi pengguna maya, walaupun tidak dituduh melakukan kesalahan jenayah. – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen