NAJIB Razak meninggalkan kediamannya di Langgak Duta di Taman Duta, Kuala Lumpur pagi tadi dan pada masa ini sedang dalam perjalanan ke Pekan, bagi menghadiri beberapa program.
Walaupun bekas perdana menteri itu meletak jawatan sebagai presiden Umno dan Barisan Nasional, beliau masih ketua Umno Bahagian Pekan dan ahli Parlimen Pekan.
Pada jam 9.20 pagi terdapat empat kenderaan dan dua pengiring polis keluar dari kediaman itu.
Ia termasuk sebuah kenderaan MPV putih dipercayai membawa Najib.
Beliau dijangka tiba di kediaman rasminya di Seri Kenangan di Pekan kira-kira 12 tengah hari.
Najib dijangka bermalam di Pekan dan kembali ke ibu negara pada pagi Isnin.
Mengikut jadual, beliau akan meninjau Program Kacau Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) dan ibu tunggal daerah Pekan di pekarangan Seri Kenangan pada 4.30 petang.
Pada jam 5 petang, beliau dijadual merasmikan mesyuarat agung cawangan-cawangan Umno Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater, Bangunan Umno Pekan. Najib juga dijangka hadir pada majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isyak, solat sunat tarawih di Seri Kenangan.
Najib keluar awal pagi tadi diiringi konvoi, dan sempat bertemu dengan sekumpulan ahli Puteri Umno yang menunggu di laman rumahnya.
Ketua Puteri Umno Bahagian Tangga Batu Dira Abu Zahar berkata mereka berada di situ untuk menunjukkan sokongan kepada bekas presiden itu yang digambarkannya dalam keadaan bersemangat.
Najib kini disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Beliau juga disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengarahkan Najib ke pejabat agensi anti rasuah itu pada Selasa depan, untuk memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.
Ia susulan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan pemeriksaan sejak malam Rabu lalu di enam premis, iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta serta tiga unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan. – 20 Mei, 2018.
Komen