JUTAWAN Robert Kuok yang berpangkalan di Hong Kong dijangka pulang ke Malaysia minggu ini untuk bermesyuarat dengan Majlis Penasihat kerajaan, kata pengerusi majlis itu Daim Zainuddin.
“Robert Kuok berpengalaman luas dalam perniagaan, pembangunan hartanah, hospitaliti, pelancongan dan cadangannya nanti amat berguna,” kata Daim yang juga bekas menteri kewangan kepada Malaysia Decides.
Selain Kuok dan Daim, tiga lagi anggota dalam majlis yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu ialah bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Hassan Marican dan pakar ekonomi terkemuka KS Jomo.
Minggu lalu, majlis itu menggesa penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyemak semula beberapa projek, termasuk pembinaan Landasan Kereta api Pantai Timur.
Ia juga menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) untuk menasihati kerajaan Pakatan Harapan.
Anggota IRC ialah hakim bersara Mahkamah rayuan dan bekas pesuruhjaya Suhakam Datuk K.C. Vohrah, Presiden Hakam Ambiga Sreenevasan, hakim bersara Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji dan pensyarah undang-undang di Universiti Malaya, Dr Shad Saleem Faruqi. – 20 Mei, 2018.
Komen