MOHAMED Azmin Ali akan mengadap Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Idris Shah tengah hari ini bagi membincangkan kedudukan beliau sebagai menteri besar Selangor susulan pelantikannya sebagai menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.
Menurut sumber negeri Selangor, Azmin akan menyampaikan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan menteri besar yang disandangnya sejak September 2014 itu.
Azmin baru mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 11 Mei lalu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada dua hari sebelumnya.
Semalam, Azmin bertemu dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana susulan pengumuman 13 anggota jemaah menteri beliau pada Jumaat.
“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada perdana menteri dan saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan untuk menerajui kementerian kanan yang penting dan ini adalah kementerian baru,” kata Azmin kepada media, selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir semalam.
Malaysia Decides difahamkan dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk menggantikan Azmin sebagai menteri besar negeri itu.
Sumber kerajaan negeri mengesahkan nama Adun Seri Setia Prof Shaharuddin Badarudin yang juga naib presiden PKR dan Adun Sungai Tua (dulunya Batu Caves) Amiruddin Shari yang juga exco negeri disampaikan kepada Sultan.
“Kini menjadi prerogatif Sultan Selangor untuk memilih pengganti Datuk Seri (Azmin),” kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu. – 20 Mei, 2018.
Komen