Dapatkah Umno diselamatkan jika terima ahli bukan Melayu?


The Malaysian Insight

IA idea yang disuarakan 50 tahun lalu dan menyebabkan presiden pertama Umno, Onn Jaafar disingkirkan daripada parti yang diasaskannya – perlukah Umno membuka pintunya kepada bukan Melayu?

Kali ini, idea yang sama dicadangkan oleh ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin sebagai sebahagian usaha untuk membina semula parti berusia 71 tahun itu, susulan kekalahan bersejarahnya dalam PRU14.

Alasan yang diberikan ialah dengan menukarnya kepada United ‘Malaysian’ National Organisation, parti itu dapat menawarkan sesuatu kepada politik bukan perkauman yang digunakan pesaingnya untuk menang kuasa persekutuan.

Tetapi akar umbi parti itu mempunyai pendapat berbeza. Bagi mereka bukan identiti teras parti itu sebagai suara tunggal untuk Melayu Muslim, yang ditolak oleh pengundi.

“Ia adalah tentang Najib dan Rosmah dan sistem feudal kita. Ia bukan penolakan identiti kita sebagai parti Melayu,” kata ahli Umno Kedah yang mahu dikenali sebagai Ahmad.

“Kerana di Pakatan Harapan, ada Bersatu iaitu parti Melayu dan DAP yang berasaskan Cina, dan mereka tetap dipilih,” kata Ahmad merujuk kepada dua parti dalam gabungan PH yang membentuk kerajaan baharu sekarang.

Umno dan Barisan Nasional kehilangan 54 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU13.

Kekalahan itu disebabkan kombinasi kemarahan rakyat terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal menyelubungi presiden Umno dan bekas perdana menteri Najib, kata penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mokhtar.

“Umno masih boleh dapat kelebihan daripada identiti Melayu Islamnya,” kata Tunku Mohar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Umno kalah 35 daripada 89 kerusi Parlimen yang dipegangnya pada PRU13, dan kali pertama sejak kemerdekaan, hilang kuasa persekutuan.

Susulan gesaan pembaharuan, Khairy berkata Umno patut mempertimbangkan membuka pintunya kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

Ahli Umno Selangor, Kalam Azad Abu Bakar berkata identiti Umno tidak pernah menjadi isu pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Identiti Melayu Islam Umno mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Melayu dan Islam. Bagi saya ia bukan isu dan bukan masalah,” katanya.

Parti itu selama ini dan masih lagi menjadi suara untuk Melayu luar bandar, kata ketua bahagian Umno Perak Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, dan atas alasan itu, ia patut mengekalkan identitinya.

“Saya fikir kita perlu kembali pada asas. Kita sudah terlalu lama berada dalam zon selesa,” katanya.

Pakar politik Prof James Chin berkata Umno akan bertahan dengan ideologi terasnya tentang ketuanan Melayu kerana PRU14 menunjukkan masih ada tempat untuk politik berasaskan kaum dan agama.

Malah, Merdeka Center iaitu peninjau pandangan umum bebas mendapati walaupun hilang kuasa persekutuan, Umno dan BN masih mendapat 44.3% undi Melayu pada PRU14.

“Akar umbi Umno tidak akan mungkin dapat menerima idea itu. Prinsip teras Umno ialah ketuanan Melayu dan ketuanan Islam,” kata Chin dari University of Tasmania. 

“Jadi Umno tidak boleh menjadi majmuk dalam apa juga keadaan. Orang yang berfikir bahawa Umno sudah habis, hanya berangan. Sebanyak 40% Melayu masih mengundi untuk Umno, jadi ketuanan Melayu dan Islam parti itu masih mendapat sokongan kuat.” – 20 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen