ABDUL Hadi Awang perlu bersedia untuk menerima tentangan hebat daripada Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain jika beliau masih cuba membawa agenda hududnya yang kontroversi itu.
Rang undang-undang (RUU) jenayah syariah yang dibawa presiden PAS itu sebelum ini dialu-alukan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno, malah Hadi membawa usul yang dikenali sebagai Akta 355 atau RUU 355 di Parlimen serta mendapat tempat di media arus perdana.
Hujahnya yang paling utama ialah bukan Islam tidak perlu rasa terancam dengan tindakan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) itu yang akan memperkasakan hukuman di bawah kanun keseksaan Islam dikenali sebagai hudud.
Hadi berkata akta itu hanya terpakai kepada umat Islam.
Tetapi pengkritik tidak menerima jaminan yang diberikannya, malah percaya cadangan perundangan itu akan memperkenalkan undang-undang hudud menerusi pintu belakang.
Dalam satu temu bual dengan Malaysia Decides pada Khamis, Anwar berkata beliau membantah RUU persendirian Hadi itu kerana jika ia menjadi undang-undang, Malaysia akan berdepan situasi serupa dengan Indonesia, di mana undang-undang syariah di Aceh mencetuskan kebimbangan tentang hala tuju di seluruh negara itu.
“Anda tidak buat untuk Islam tetapi untuk syariah. Lihat pada apa yang dialami oleh Indonesia. Anda cuba memecahkan negara. Apa keutamaan anda,” kata Anwar.
PAS kekal berkuasa di Kelantan, berjaya menawan Terengganu dan mengejutkan ramai penganalisis apabila menang 18 kerusi Parlimen pada PRU14. Melihat kepada kekuatan ditunjukkan partinya dan sokongan 54 ahli Parlimen Umno, Hadi mungkin cuba membawa kembali RUU itu dalam perundangan persekutuan.
Dan memandangkan gabungan wakil rakyat PAS dan Umno mewakili undi Melayu Islam, bantahan terhadap RUU Hadi oleh parti Pakatan Harapan bakal menjadi isu sensitif.
DAP akan terus membantah hudud tetapi setiausaha organisasi nasional yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke secara diplomatik berkata ia terserah kepada kerajaan dan prosedur Parlimen, untuk membenarkan bahas terhadap RUU itu, atau tidak.
“Kedudukan kami masih sama seperti sebelum ini. Mana-mana ahli Parlimen bebas menghantar sebarang usul tetapi terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya,” kata Loke yang baru saja dilantik sebagai menteri pengangkutan.
Amalan Parlimen memberikan keutamaan kepada RUU kerajaan berbanding RUU persendirian. Lazimnya, RUU seperti itu akan disenaraikan dalam kertas perintah tetapi amat jarang ia sampai ke peringkat dibentangkan, apatah lagi dibahaskan.
Hadi membentangkan RUU persendirian untuk meminda Akta 355 itu kali pertama pada Mei 2016. Perbahasan RUU itu masih belum diadakan, walaupun Ahli Parlimen PAS Kota Baru Takiyuddin Hassan dibenarkan bercakap sebagai sokongan terhadap usul itu di Dewan Rakyat.
RUU itu kemudian sekali lagi tersenarai dalam kertas perintah di Dewan Rakyat pada persidangan April lalu, sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU14, tetapi ia tidak pernah disentuh.
Ketua Biro Strategik Bersatu Dr Rais Hussein tidak menolak terus RUU itu tetapi berkata ia perlu dilihat dengan lebih luas, bagi mengukuhkan sistem syariah secara keseluruhan, bukan hanya untuk memperkasakan hukuman. – 20 Mei, 2018.
Komen