SELEPAS dibelasah di mahkamah pandangan umum sejak beberapa hari lalu, Najib Razak juga kemudiannya membawa kesnya itu terus kepada masyarakat umum Malaysia.
Ia tindakan yang bodoh tetapi beliau memang selalu begitu.
Dan sebagai ahli politik, Najib selalu percaya bahawa jika anda tidak respons kepada kritikan, publisiti negatif dan membentangkan naratif anda, maka apa yang orang lain cakap tentang anda, nampaknya akan terus kekal.
Berdiam diri dan tidak melawan memang bukan kekuatannya. Selalunya cara yang diambil ialah terus bertahan pada mesejnya tanpa mengira betapa besarnya bukti yang ada.
Jadi beliau setuju ditemu bual oleh Malay Mail – media dimiliki oleh rakannya, , Siew Ka Wai – dan memberikan kita gambaran mengenai pembelaan yang akan diambilnya dan isteri, bila kes itu dibawa ke mahkamah.
Najib berkata beliau tidak melakukan kesalahan dan hanya memainkan peranan penasihat dalam skandal 1MDB, syarikat pelaburan milik negara yang didakwa menjadi tabung kepada bekas perdana menteri itu dan Low Taek Jho.
Katanya, RM2.6 bilion yang ditemui di dalam akaun bank peribadinya itu ialah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Najib menjaja cerita dongeng itu berulang kali sehinggakan beliau sendiri percaya dengan kenyataannya itu. Banyak dokumen penting dalam skandal 1MDB yang ada tandatangannya. Dan penyiasat akan membuktikan bahawa Najib, bukan sekadar penasihat.
Tidak mengulas tentang jutaan ringgit dalam bagasi, deretan tas tangan mewah, barang kemas dan bukti lain mengaitkan keluarganya dengan gaya hidup boros yang dirampas polis menerusi beberapa serbuan di hartanah miliknya, Najib malah memilih untuk menunjukkan bahawa beliau adalah mangsa.
Beliau hairan kenapa Dr Mahathir Mohamad tidak dikenakan penyiasatan terperinci seperti itu, sedangkan Dr Mahathir menerima 30 kuda daripada kawannya sebagai hadiah.
Dengan berkata demikian, adakah Najib dan Rosmah Mansor mengatakan bahawa semua wang tunai dan barangan mewah yang dirampas polis menggunakan beberapa trak itu adalah hadiah?
Tidak masuk akal.
Tidak ada sedikit pun rasa insaf. Langsung tiada sesal.
Hanya keangkuhan yang sama ditunjukkan Najib dan isterinya, dengan mempercayai bahawa mereka layak atas segala-galanya di Malaysia.
Malah layak untuk “kebenaran” mereka sendiri. – 20 Mei, 2018.
Komen