WALAUPUN tidak berjaya menempatkan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai wakil rakyat, Amanah Kelantan mempunyai rancangan lebih besar untuk anak bekas mursyidul am PAS paling popular itu.
“Kita akan pastikan Nik Omar mendapat kedudukan yang baik dalam kerajaan persekutuan kerana kita mengiktiraf beliau berjaya membawa gelombang untuk Pakatan Harapan (PH) sehingga kita menang,” kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.
Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata Nik Omar adalah pemimpin masa depan untuk Amanah negeri dan tokoh dari Kelantan yang akan ditonjolkan dalam parti itu.
“Dalam mesyuarat Amanah Pusat semalam, saya mencalonkan Nik Omar dilantik sebagai salah seorang senator dari Kelantan selain Husam Musa.
“Jika ia diterima, anak Tok Guru Nik Aziz ini, saya cadangkan juga dilantik sebagai salah seorang timbalan menteri untuk kerajaan pusat,” kata Wan Rahim.
Wan Rahim berkata beliau turut mencadangkan Nik Omar mengambil alih tempatnya sebagai pengerusi Amanah Kelantan.
“Saya harap ia akan berlaku tahun ini atau tahun depan,” katanya yang pernah menjadi setiausaha politik pertama kepada Nik Aziz Nik Mat ketika ulama itu mula menjadi menteri besar Kelantan pada 1990.
Seterusnya, Nik Omar akan dinyatakan dengan jelas tanpa saingan lagi adalah calon menteri besar Kelantan jika PH berjaya memenangi negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
PH mencalonkan Nik Omar sebagai calon DUN Chempaka pada PRU14, 9 Mei lalu namun kalah.
Semalam Nik Omar dilarang daripada terus menjadi imam dan tenaga pengajar di Masjid Pulau Melaka, tempat beliau memberikan kuliah sejak ayahandanya meninggal dunia. – 20 Mei, 2018.
Komen