POLIS yang menyiasat Najib Razak diminta memberi butiran pegawai yang didakwa berkeluakuan tidak wajar ketika menggeledah kediaman bekas perdana menteri itu dan beberapa unit kondominium mewah yang dihuni ahli keluarganya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Amar Singh berkata, beliau telah mengarahkan semua pegawai untuk bertindak profesional ketika menggeledah enam premis berasingan yang berkait dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad.
Beliau menjawab dakwaan yang dibuat oleh peguam Najib, Harpal Singh Grewal dan firma undang-undang yang mewakili isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor, Valen, Oh and Partners.
“Saya minta butiran lanjut diberikan berhubung insiden berkenaan dan mengenal pasti, jika boleh, anggota polis yang terlibat.
“Saya tidak akan bertoleransi dengan tindakan sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terlibat dengan pelanggaran prosedur operasi standard polis kami, sekiranya dakwaan itu benar,” kata Amar dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, laporan berita menyebut peguam Harpal Singh berkata pegawai polis yang menyerbu unit kondo yang dihuni anak Najib bertindak memakan makanan dan coklat daripada peti sejuk dan meminta makanan disediakan kepada mereka.
Rosmah sementara itu menerusi peguamnya berkata, gambar serbuan di kediaman peribadinya tersebar di media sosial untuk mencetuskan kemarahan awam terhadap beliau dan suaminya.
Amar berkata, semua pegawai yang menjalankan penggeledahan dilarang membawa telefon bimbit kecuali ketua atau timbalannya yang hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi.
Katanya terdapat ahli keluarga dan rakan yang hadir ketika penggeledahan dan polis akan mengenal pasti sama ada gambar yang tersebar itu adalah daripada mereka atau polis.
“Gambar dan rakaman video di lokasi hanya diambil oleh jurugambar rasmi kami.
“Sediakan butiran gambar yang tersebar, jika ada, bagi membolehkan kami menjalankan siasatan untuk mengesahkan sama ada gambar yang viral itu daripada polis atau sebaliknya kerana terdapat juga ahli keluarga dan rakan mereka ketika serbuan dijalankan,” katanya.
Amar berkata serbuan serentak dijalankan di enam premis berbeza pada 16 dan 17 Mei, setiap serbuan diketuai oleh pegawai kanan polis.
“Setiap komander dan pegawai diingatkan oleh saya untuk menjalankan penggeledahan secara pofesional dan menghormati penghuni premis ini yang dihuni oleh bekas perdana menteri negara kita dan keluarganya,” katanya. – 19 Mei, 2018.
Komen