KAJIAN semula undang-undang mengenai wanita dan kanak-kanak dan jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai kesaksamaan jantina adalah antara cadangan yang telah disenaraikan oleh bekas aktivis yang kini Ahli Parlimen Pakatan Harapan Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah kepada timbalan perdana menteri yang akan dilantik, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah yang turut dinamakan sebagai menteri pembangunan wanita dan keluarga, perlu membuat undang-undang yang tiada diskriminasi terhadap wanita sebagai “keutamaan negara”, kata Maria dalam satu kenyataan malam ini.
Maria, yang memulakan kerjayanya sebagai aktivis yang memperjuangkan hak wwanita sebelum mengetuai kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0 berkata, Malaysia mengalami kemunduran berhubung kesamaan jantina dan telah digesa di peringkat global kerana gagal menangani stereotaip wanita serta amalan kebudayaan dan keganasan yang mengancam wanita.
“Dasar pentadbiran sebelum ini gagal menghasilkan kemajuan yang bermakna untuk memajukan hak-hak wanita sesuai dengan prinsip-prinsip asas persamaan dan tidak diskriminasi,” katanya.
Undang-undang yang tidak adil kepada wanita perlu dipinda dan diselaraskan untuk “mengetengahkan kesaksamaan jantina ke institusi”, tambahnya.
Beliau menyenaraikan empat bidang yang perlu diberi perhatian oleh Wan Azizah:
- Menambah baik semula Majlis Penasihat Kebangsaan untuk Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID) yang akan dipimpin oleh seorang pengerusi bebas dan memasukkan kedua-dua organisasi kerajaan dan masyarakat awam.
- Membentuk Jawatankuasa Kebangsaan untuk mengkaji semua undang-undang yang mendiskriminasi wanita, termasuk undang-undang mengenai keluarga, rogol, keganasan rumah tangga, gangguan seksual, serta perbuatan pekerjaan dan draf bil kesamaan jantina.
- Mewujudkan Jawatankuasa Perlindungan dan Pembangunan Kanak-kanak untuk mengkaji semula undang-undang, dan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) untuk memastikan pendekatan holistik terhadap perkembangan kanak-kanak di Malaysia.
-Memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Kesaksamaan Gender Parlimen (GESC) dengan peruntukan belanjawan untuk mengkaji semula undang-undang dan dasar yang berkaitan dengan hak wanita, untuk menyokong program dan menjalankan perundingan negara, serta mengumpulkan maklum balas orang ramai.– 19 Mei, 2018.
Komen