Najib minta perlindungan, dakwa nyawa diancam


The Malaysian Insight

BEKAS perdana menteri Najib Razak bimbang nyawanya kini diancam oleh individu tertentu yang didakwanya berkaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bercakap dalam satu wawancara dengan The Malay Mail Online, Najib mendakwa terdapat ancaman yang jelas ke atas nyawa beliau dan juga anggota keluarganya.

Katanya, beliau telah memohon kepada polis untuk diletakkan dalam perlindungan saksi bagi siasatan ke atas kes yang sedang disiasat, lapor laman tersebut.

Menurut laporan The Malay Mail Online, Najib dalam aduan polisnya turut mendakwa, ancaman tersebut dikesan dari dalam negara dan juga luar negara.

Dalam laporan polisnya semalam, Najib dilaporkan menyebut bahawa wang tunai yang ditemui polis dalam operasi ke premis dikaitkan dengannya itu adalah derma untuk kempen Barisan Nasional.

Ia merujuk kepada operasi polis di kediamannya sejak 10 Mei, sehari selepas pilihan raya umum.

Beliau mendakwa, polis merampas barangan milik beliau dan anak lelakinya yang didiakwa tiadak kaitan dengan 1MDB.

Dalam laporan itu, Najib didakwa turut mendakwa, barang kemas, wang tunai dan lain-lain barang yang dirampas polis dari tiga premis di Pavillion Tower adalah pemberian rakan-rakannya.

Beliau juga dilaporkan kesal kerana pihak berkuasa yang menjalankan operasi di premis terbabit tidak memberi senarai barangan yang dirampas.

Dalam laporan polisnya, Najib juga dilaporkan menyebut bahawa beliau hanya memainkan peranan sebagai penasihat dalam 1MDB dan tidak terlibat dalam proses membuat keputusan.

Keputusan mengenai urusniaga 1MDB dibuat oleh lembaga pengarah dan pengurusan, katanya lagi.

Dalam laporan berkenaan, Najib juga dilaporkan menyebut bahawa wang RM2.6 bilion yang diterimanya adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Selain kediaman di Taman Duta dan di Pavillion Tower, polis turut menggeledah Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

Bekas perdana menteri itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau dan isterinya Rosmah Mansor kini disekat dari meninggalkan negara.

Najib juga dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Selasa ini berhubung siasatan bagi kes melibatkan firma SRC International.– 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen