Najib mesti ke SPRM Selasa ini


The Malaysian Insight

NAJIB RAZAK akan diambil keterangannya di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, bukan di rumahnya seperti didakwa peguam bekas perdana menteri itu, kata pegawai kanan SPRM.

Timbalan Pengarah Operasinya, Azam Baki berkata notis juga sudah diserahkan kepada Najib untuk hadir di pejabat SPRM, Selasa ini.

“Saya menolak kenyataan peguam Datuk Seri Najib, Datuk Harpal Singh Grewal bahawa pegawai SPRM akan hadir ke rumah beliau untuk merakam percakapannya,” kata Azam dalam satu kenyataan media lewat petang tadi.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam menyusul kenyataan peguam Najib kononnya bekas perdana menteri itu akan menunggu pegawai SPRM datang ke rumahnya Selasa ini.

“Dalam notis yang diserahkan kepada Datuk Seri Najib semalam telah dinyatakan dengan jelasnya bahawa beliau perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya,” kata Azam.

Najib dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysian Development Berhad, yang kemudian diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Antara skandal 1MDB yang heboh sejak beberapa tahun lalu ialah pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International berjumlah lebih kurang RM4 bilion.

SRC International kemudian didakwa menyalurkan RM32 juta ke akaun Najib, yang kemudian sebahagiannya diagihkan kepada beberapa individu.

Bekas Peguam Negara, Mohamad Apandi Ali sebelum ini “membersihkan” Najib daripada sebarang dakwaan terkait SRC International. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen