Sirul mahu pengampunan untuk dedahkan semua, menurut laporan 


The Malaysian Insight

BEKAS pegawai polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan kerana membunuh penterjemah Mongolia Altantuya Shaariibuu akan dedahkan segala-galanya berhubung kes itu sekiranya diberi pengampunan penuh.

Sirul, yang kekal dengan pengakuan tidak bersalahnya memberitahu Malaysiakini dalam satu sesi temubual beliau boleh dianggap sebagai tahanan politik.

“Saya sanggup membantu kerajaan baharu untuk memberitahu apa sebenarnya yang berlaku sekrianya kerajaan berikan saya pengampunan penuh,” katanya dari Pusat Tahanan Imigresen dan Kawalan Sempadan di Sydney, Australia di mana beliau ditahan sejak tiga tahun lepas.

Sirul meninggalkan Malaysia ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman terhadapnya dan seorang lagi pegawai polis Azilah Hadri pada Januari 2015. Azilah kini menunggu hukuman mati dan sedang memohon pengampunan.

Terdapat gesaan untuk kerajaan Pakatan Harapan yang baharu membuka semula kes pembunuhan Altantuya sejak pakatan itu menang pilihan raya umum pada 9 Mei lalu. Ketua umum PKR Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan turut memberitahu media Australia bahawa Sirul perlu dibicaran semula kerana hakim yang mendengar kes ini telah “dikompromi”.

Altantuya dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda dalam perjanjian untuk pembelian kapal selam Scorpene daripada Perancis ketika Najib memegang jawatan menteri pertahanan.

Altantuya dibunuh di satu kawasan terpencil di Puncak Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1.30 pagi hari berikutnya.

Sirul memberitahu Malaysiakini bahawa kes Altantuya hanya kes dakwaan jenayahnya dan selain itu beliau memiliki rekod yang bersih.

Katanya, perbicaraan juga dijalankan secara tidak adil kerana saksi utama, pembantu kem Najib Musa Safri tidak dipanggil.

Mahkamah Rayuan telah membebaskan kedua-dua Sirul dan Azilah tetapi Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan itu.– 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen