KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) harus mengembalikan kedaulatan undang-undang di Malaysia supaya negara ini kembali mempunyai kebertanggungjawapan, kata ahli panel pada sebuah forum hari ini.
“Di bawah kerajaan lepas, kebertanggungjawapan dimusnahkan sehingga rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan, tertumanya dengan 1Malaysia Development Berhad,” kata bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Gurdial Singh Nijar.
Tambah beliau, kekurangan kebertanggungjawapan ini menjadi faktor utama dan kerajaan baharu perlu menjadikan kesemua pemimpin utama mempunyai sifat bertanggungjawab.
Kerajaan baharu juga harus memastikan undang-undang tidak hanya adil, malah perlu dilaksanakan secara saksama kepada semua rakyat, kata Gurdial.
Beliau berkata terdapat pertindihan undang-undang yang perlu disemak semula.
“Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun memasukkan undang-undang seperti Akta Pencegahan Jenayah dan pindaan ke atas Akta Kanun Keseksaan yang lebih teruk daripada ISA” kata Gurdial pada forum “Post Elections: The Way Forward and Challenges” di Petaling Jaya hari ini.
Beliau menambah, tuduhan terhadap pelukis dan aktivis seperti Fahmi Redza dan penahanan Maria Chin di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah kes-kes yang jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa dan penguatkuasaan berpilih.
Gurdial berkata langkah-langkah lain yang perlu dilakukan oleh kerajaan baharu ialah memastikan sebuah kerajaan yang telus dan terbuka, badan kehakiman yang bebas dan pemansuhan undang-undang yang menindas serta menyekat kebebasan bersuara serta pergerakan.
Pakar undang-undang Perlembagaan, Tony Thomas pula optimis bahawa kerajaan baharu akan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaharui undang-undang dan institusi sedia ada.
“Hampr kesemua dalam Kabinet sekarang pernah menjadi mangsa rejim terdahulu. Malah Dr Mahathir Mohamad pernah menjadi mangsa keadilan apabila semua kes yang beliau rujuk ke mahkamah telah dibuang,” kata Thomas.
Aktivis Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata rakyat perlu memastikan kerajaan baharu disemak.
“Ambil Dr Mahathir sebagai contoh. Selepas beliau diingatkan bahawa manifesto mereka menyatakan perdana menteri tidak boleh memegang dua portfolio, beliau dengan segera melepaskan jawatan menteri pendidikan,” kata Paulsen.
Forum tersebut dianjurkan oleh Majlis Gereja-gereja Malaysia dan bekas presiden Badan Peguam, Cyrus Das menjadi moderator. – 19 Mei, 2018.
Komen