PEGUAM jenayah terkemuka M Puravalen mengesahkan beliau dikekalkan oleh Rosmah Mansor untuk khidmat guamannya.
Katanya, beliau hanya akan bertindak untuknya dan bukan bekas perdana menteri Najib Razak, selepas memberi kenyataan kepada media bagi pihaknya hari ini.
Puravalen ketika dihubungi berkata setakat ini tiada sebarang arahan lanjut daripada ank guamnya.
Puravalen merupakan peguam pertama yang mewakili Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006. Razak didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia itu dan dibebaskan selepas mahkamah tinggi mendapati tiada kes prima facoe terhadapnya.
Terdahulu hari ini, Rosmah mengkritik “beberapa kebocoran” yang tersebar di media sosial termasuk butiran barang rampasan oleh pasukan polis yang menyiasat Najib.
Rosmah berkata keluarganya adalah “mangsa sasaran” yang direka untuk mencetuskan kemarahan awam dan menggesa pihak berkuasa tidak mencetuskan “troll di media sosial”.
Kenyataannya dibuat melalui firma guaman Puravalen, Valen, Oh and Partners.
Polis setakat ini telah merampas sekurang-kurangnya 284 kotak beg tangan, 72 bagasi yang mengandungi wang tunai dan pelbagai barangan berharga termasuk jam tangan mewah dan barang kemas, daripada kediaman dan pejabat Najib, menurut laporan.
Laporan lain hari ini menyebut, dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad, termasuk surat bertarikh 27 Julai, 2015 kepada Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang ditemui di peti besi di bekas pejabat Najib di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – 19 Mei, 2018.
Komen