Sekarang, Ketua Pakatan Sarawak kata 'Perjanjian Baru' sah


The Malaysian Insight

“PERJANJIAN Baru” Pakatan Harapan (PH) kepada Sarawak bagi mendapatkan autonomi dan hak yang lebih akan tetap diteruskan, kata Ketua PH negeri, Chong Chieng Jien hari ini, berbeza dengan kenyataannya pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, Chong menafikan berubah pendirian kerana beliau sebelum ini berkata tawaran tersebut tidak lagi sah apabila Barisan Nasional (BN) enggan menandatanganinya pada 9 April.

“Sekarang kami kerajaan (Persekutuan). Kami menandatanganinya bagi pihak Kerajaan pakatan Harapan.

“Kami percaya yang kami ada kuasa,” kata Chong hari ini.

Perjanjian Baharu PH itu merangkumi “penurunan kuasa penuh” dalam pendidikan, perkhidmatan dan penjagaan kesihatan, menaikkan royalti minyak dan gas daripada 5% kepada 20% dan pemulangan kutipan semua cukai yang dikutip dari Sarawak sebanyak 50% oleh kerajaan Persekutuan.

Di bawah kementerian pendidikan dan kesihatan, kerajaan negeri akan diberi autonomi penuh dalam membuat keputusan termasuk dasar, peruntukan belanjawan, sukatan pelajaran, pengambilan tenaga pengajar dan kakitangan perubatan, perolehan peralatan serta bangunan sekolah dan hospital.

Perjanjian Baru ini adalah janji pilihan raya sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya. Tetapi, selepas kerajaan negeri BN berkata ia tidak mengiktiraf perjanjian tersebut, Chong pada awal minggu ini berkata ianya tidak lagi sah.

Timbalan Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol semalam berkata kerajaan negeri enggan menandatangani perjanjian tersebut kerana tiga penandatangan PH - Chong, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Ketua Amanah Sarawak Fidzuan Zaidi - bukan wakil undang-undang kerajaan Persekutuan.

Hari ini, Chong berkata penolakan oleh kerajaan negeri itu sama ada ia tidak yakin mengurus kedua-dua kementerian berkenaan ataupun BN Sarawak “memang tidak berminat untuk menggalas tanggugjawab ini.”

Bagaimanapun, Chong berkata PH akan terus mencari jalan lain untuk penurunan kuasa, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai perkara itu. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen