Editor Sarawak Report tak akan berhenti bongkar skandal 1MDB


The Malaysian Insight

CLARE Rewcastle-Brown, akan terus mendedahkan salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun kerajaan kini bertukar tangan.

“Walaupun sebuah era sudah berakhir, namun masih ada banyak maklumat yang perlu didedahkan,” beliau memberitahu Malaysia Decides.

Sarawak Report juga menjalankan satu siri pendedahan mengenai Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, yang mengaitkannya dengan PetroSaudi.

“Ia sungguh menarik menyaksikan sesuatu yang kami tahu dan syaki kini diketahui umum, tetapi perjalanannya masih jauh banyak yang perlu dilakukan untuk mendapatkan semula hak rakyat Malaysia.

“Saya berharap saya dapat memainkan peranan kecil di situ,” kata Rewcastle-Brown yang tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Editor Sarawak Report itu berkata beliau berada di sini untuk “menyelesaikan beberapa perkara”.

Beliau disenaraihitamkan oleh pentadbiran Najib Razak atas laporan berkenaan skandal 1MDB dan kali terakhir datang ke Malaysia pada Januari 2015.

Sarawak Report juga telah disekat pada Julai 2015 kerana didakwa menyiarkan maklumat tidak berasas walaupun terdapat siasatan sedang dijalankan oleh pasukan khas 1MDB.

Sekatan ke atas Sarawak Report ditarik semula pada 15 Mei lalu, iaitu hari yang sama laporan audit 1MDB didedahkan kepada umum.

“Saya berharap untuk kembali ke KL untuk lawatan lebih lama tidak lama lagi dan ini hanyalah lawatan singkat untuk berjumpa beberapa arakan dan menyelesaikan beberapa perkara, yang mana sekarang lebih mudah dilakukan dan saya boleh bergerak dengan bebas,” katanya.

Rewcastle-Brown berkata beliau tidak berjumpa mana-mana pegawai dari Kerajaan Pakatan Harapan.

1MDB dicetuskan oleh Najib, yang didakwa menyalahguna berbilion ringgit dari dana itu dan skandal ini digelar sebagai “kleptokrasi paling teruk” oleh peguam negara Amerika Syarikat.

Enam premis yang dikaitkan dengan Najib diserbu polis minggu ini sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kehilangan AS$4.5 bilion (RM18 bilion) dari dana itu. Polis merampas beg tangan mewah, wang tunai dan barang kemas melalui serbuan itu.

Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merupakan satu jawatankuasa berasingan yang akan menyiasat perkara berkaitan 1MDB.

Bekas peguam negara Abu Talib Othman akan mengetuai majlis ini. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen