Anwar Ibrahim ke Jakarta esok, jumpa BJ Habibie


The Malaysian Insight

ANWAR Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie di Jakarta esok, lapor media di republik itu.

Pertemuan dua pemimpin yang bersahabat itu disahkan oleh Pengarah Eksekutif Habibie, Center kepada CNN Indonesia.

Jurucakap Anwar di Kuala Lumpur turut mengesahkan kunjungan bekas timbalan perdana menteri itu ke Jakarta esok.

“Anwar di Jakarta esok, pulang ke Malaysia pada Isnin,” katanya kepada Malaysia Decides.

Selain bertemu Habibie, Anwar dijadual mengadakan satu sidang media serta beberapa wawancara dengan media Indonesia esok.

Anwar yang mendapat pengampunan penuh Yang Di-Pertuan Agong Rabu lalu dalam kenyataan pertamanya memberitahu beliau akan memenuhi beberapa undangan ke luar negara, termasuk memberi syarahan di beberapa universiti terkemuka.

Anwar mempunyai hubungan istimewa dengan Habibie, termasuk pernah dijaga oleh bekas presiden itu dan isteri, Ainun semasa menjalani rawatan di Munich, Jerman pada September 2004, selepas keluar penjara apabila mahkamah mengetepikan sabitan tuduhan liwat pertama.

Kedua-dua pemimpin itu juga disifatkan oleh pengkaji politik Asia Tenggara sebagai tokoh Muslim demokrat yang berpengaruh dan penggerak reformasi di negara masing-masing.

Habibie adalah presiden yang mengambil alih pemerintahan Indonesia apabila Suharto letak jawatan pada 21 Mei 1998 selepas memimpin selama lebih tiga dekad.

Beliau memulakan reformasi di Indonesia dalam bidang politik dan ekonomi, termasuk membebaskan media daripada cengkaman penguasa.

Habibie bagaimanapun hanya menjabat jawatan lebih kurang setahun apabila hilang sokongan di Parlimen selepas dikritik kerana membenarkan Timor Leste merdeka daripada republik itu. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen