Dr Mahathir pilih saya berdasarkan kejayaan Selangor, kata Azmin


The Malaysian Insight

PEMILIHAN Mohamed Azmin Ali sebagai menteri Kabinet adalah dibuat berdasarkan kejayaan kerajaan Selangor, yang diharapkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Menteri Besar Selangor itu semalam dinamakan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, yang menurut Azmin suatu kejutan buatnya.

Beliau berharap dapat melaksanakan strategi baharu bagi pembangunan ekonomi negara.

“Isu-isu ini sangat penting bagi saya. Kami mempunyai pengalaman dan dasar yang bagus untuk perumahan awam di Selangor dan ini boleh dipanjangkan ke peringkat Persekutuan,” beliau memberitahu wartawan selepas bertemu Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Bagaimanapun, Azmin berkata beliau perlu mengadap Sultan Selangor sebelum menggalas portfolio baharu.

“Saya akan buat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai portfolio baru, saya perlu mengadap Sultan Selangor dulu.

“Sehingga ke hari ini, saya masih Menteri Besar Selangor dan sekiranya keputusan dibuat untuk saya bantu dalam kerajaan Persekutuan,saya akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.”

Dr Mahathir juga akan bertemu Azmin untuk mengkaji semula projek-projek mega yang diluluskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

“Ini kementerian baru dan cabarannya besar. Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan membuat dasar dan stategi baru.” – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen