Hentikan budaya tiada pertandingan dalam Umno, kata Khairy


The Malaysian Insight

KHAIRY Jamaluddin mahu budaya tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi dalam Umno dihentikan.

Ketua Pemuda Umno itu berkata amalan ini menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti itu.

“Tak perlu lagi peraturan tiada pertandingan dalam Umno, anda hanya memberi mesej buruk kepada rakyat.

“Ini satu sebab utama mengapa rakyat hilang kepercayaan kepada kita. Seolah-olah kita tidak memberi ruang demokrasi kepada ahli. Kita perlu hentikan semua amalan mengarut ini,” beliau memberitahu wartawan ketika ditemui di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menambah, tiada kedudukan yang suci di dalam Umno.

Pergerakan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2017 telah mengemukakan usul supaya jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden parti tidak dipertandingkan dan ia  dipersetujui sebulat suara melalui undian daripada perwakilan.

Terdahulu hari ini, Umno Melaka mencadangkan Timbalan Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih jawatan presiden,manakala Hishammuddin Hussein dan Khairy masing-masing sebagai timbalan dan naib presiden parti.

Ketua Umno Bukit Katil Ali Rustam juga mahu ketiga-tiga jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Mesyuarat bagi cawangan, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan bermula pada esok hingga 10 Jun, manakala mesyuarat bahagian akan diadakan pada 30 Jun.

Berkenaan larangan perjalanan yang dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin Umno,Khairy berkata Kerajaan Pakatan Harapan tentu mempunyai alasan kukuh mengenainya. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen