ROSMAH Mansor dalam satu kenyataan menerusi peguamnya mahu pihak berkuasa tidak membocorkan butiran dalam serbuan yang dilakukan di premis-premis yang dikaitkan dengan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak.
“Ini, terutamanya, butiran mengenai barangan yang didakwa dirampas,” kata Rosmah dalam satu kenyataan melalui peguamnya dari firma guaman Valen, Oh and Partners.
Rosmah berkata beliau dan ahli keluarganya akan terus membantu siasatan, namun kebocoran maklumat telah menyebabkan “ribut media” yang kelihatan seperti “disasarkan kepada keluarga kami untuk mencetus kemarahan orang ramai”.
“Agensi penguat kuasa tidak sepatutnya menyalurkan bahan untuk persendaan media sosial, sebaliknya mematuhi dan menegakkan profesionalisme ketat pada setiap masa,” kata Rosmah.
Polis telah menyerbu beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib termasuk unit kondominium di Pavillion Residences.
Mereka merampas 284 beg tangan mewah termasuk Hermes Birkin dan Loius Vuitton serta 72 beg berisi wang tunai, barang kemas dan emas.
Serbuan ini merupakan sebahagian daripada siasatan terhadap 1MDB.
Semalam, polis berjaya membuka sebuah peti besi lama di rumah Najib yang mengandungi beberapa keping wang lama selepas mencuba lebih daripada 24 jam.
Peguam Najib, Harpal Singh Gerwal berkata bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram. – 19 Mei, 2018.
Komen