UMNO Melaka hari ini mencadangkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti, manakala Hisahmmuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin masing-masing sebagai timbalan presiden dan naib presiden.
Ketua Bahagian Umno Bukit Katil Ali Rustam juga mahu jawatan timbalan presiden dan naib presiden tidak ditandingi dalam pemilihan parti nanti.
“Umno negeri (Melaka) menyokong Zahid sebagai presiden, Hishammuddin sebagai timbalan presiden dan Khairy Jamaluddin sebagai naib presiden.
“Kami mahu parti lebih kuat dalam menghadapi cabaran hari ini kerana sekarang ini kami adalah parti pembangkang,” beliau memberitahu wartawan di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut bekas ketua menteri Melaka itu, walaupun ketiga-tiga jawatan berkenaan dicadangkan supaya tidak dipertandingkan, jawatan lain di dalam parti perlu dibenarkan ditandingi.
“Ini tiga jawatan tertinggi, kami perlu beri sokongan penuh pada mereka supaya Umno mempunyai ketua untuk terus ke depan dan dengan harapan parti dapat dipulihkan,” katanya.
Mesyuarat bagi cawangan, sayap Wanita termasuk Putera dan Puteri akan bermula esok hingga 10 Jun. Manakala mesyuarat peringkat bahagian pula akan diadakan pada 30 Jun, menjelang perhimpunan agung Umno tahun ini.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan supaya jawatan timbalan dan naib presiden tidak dipertandingkan, kerana ia akan memberi mesej buruk kepada orang ramai dan menjadi salah satu punca mengapa rakyat hilang kepercayaan terhadap Umno. – 19 Mei, 2018.
Komen