Pelantikan Maszlee cetus 'perang' di media sosial


The Malaysian Insight

ADA rakyat Malaysia melahirkan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan di media sosial.

Mereka menuduh bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menyokong pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Peguam dan aktivis Siti Kassim mengkritik keputusan itu dan menyeru orang ramai menandatangani satu petisyen bagi mendesak jawatan itu dipulangkan semula kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya harap mereka yang kritik Tun (Dr Mahathir Mohamad) pegang MOE (Kementerian Pendidikan) gembira sekarang, digantikan dengan ‘closeted Islamist’. Bagus,” katanya di Facebook yang dimuat naik malam tadi.

Portfolio pendidikan yang pada awalnya diumumkan Dr Mahathir akan dipegang beliau sendiri, telah diserahkan kepada Maszlee, dari Bersatu, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Mereka yang tidak bersetuju dengan pelantikan Maszlee itu turut mengongsikan satu artikel yang diterbitkan pada April 2016, di mana beliau dipetik sebagai berkata Zakir adalah seorang pendakwah yang lemah lembut dan tidak mengutuk agama lain.

“Saya menggesa orang bukan Islam supaya dengar betul-betul kata-katanya untuk dapatkan gambaran sebenar mengenai Islam,” Siti dipetik berkata oleh Free Malaysia Today.

Meskipun kritikan, ramai rakyat Malaysia termasuk pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen mempertahankan pelantikan Maszlee, yang menurut mereka beliau adalah orang yang tepat untuk menggalas portfolio tersebut.

“Rakyat perlu tonton @maszlee@LiewChinTong di @501Awani membincangkan hal pendidikan. Tenang, berwawasan, sangat menyedari keperluan kepada pembaharuan dan betapa jauhnya rakyat Malaysia tertinggal,” katanya.

“Maszlee juga bercakap tentang keperluan merubah wacana agama, sebagai satu alat politik identiti yang telah digunakan untuk memisahkan kita dan mereka, sebaliknya mendekatkan kita.

“Beliau turut bercakap mengenai ‘politik Islam’, keperluan mengubah pemikiran kita dan mereka dari radikal dan pelabelan yang berterusan. Adalah lebih baik menumpukan kepada Islam progresif - integriti, kejujuran, hak asasi manusia, keadilan dan sebagainya,” tulis Paulsen di Twitter beliau, sambil menambah Maszlee menjawab soalan yang dilontarkan oleh pengacara rancangan.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming juga mengongsikan pendapatnya dengan berkata Maszlee bijak, bertimbang rasa dan berkebolehan.

“Saya kenal Dr Maszlee dah lama. Beliau menulis dan bercakap mengenai kepentingan dasar awam dalam Islam dengan begitu konsisten. Beliau terbuka kepada dialog. Saya yakin keterbukaan ini akan dibawa ke dalam portfolio beliau.

“Beliaulah satu-satunya profesor di Malaysia yang setahu saya boleh melibatkan diri dalam falsafah, sains politik dan Islam. Idea-ideanya luas dan progresif. Saya banyak berbual dengan beliau mengenai hal-hal dasar awam termasuk pengurusan sisa,” tweet Ong.

Maszlee, lahir di Johor Bahru, telah menyumbangkan beberapa idea dan analisis serta sering dijemput sebagai ahli panel atau moderator bagi membincangkan isu berkaitan politik Islam dan politik di Timur Tengah.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Bayt, Jordan dan ijazah sarjana dari Universiti Malaya, kedua-duanya dalam bidang fiqh dan usul al-fiqh.

Maszlee memperoleh PhD dari University of Durham, United Kingdom pada 2011.

Petisyen dalam talian yang menyokong pelantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan telah memperoleh 7,955 tandatangan setakat 11.40 pagi tadi. Petisyen itu menyasarkan 10,000 tandatangan. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen