Beri yang terbaik kepada rakyat, kata KM Pulau Pinang kepadal Bersatu, Amanah


The Malaysian Insight

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mahu mahu kemelut ketidakpuasan hati wakil rakyat Bersatu dan Amanah selepas tiada seorangpun daripada mereka dilantik menjadi exco kerajaan negeri diselesaikan segera.

Semua exco yang dilantik untuk penggal baru ini adalah wakil rakyat DAP dan PKR sepertimana dua penggal sebelum ini.

Menggesa pentadbiran baru maju ke depan bagi memastikan tugas mereka dapat dilaksanakan, katanya, wakil rakyat yang tidak dilantik jadi exco masih punya banyak ruang untuk berkhidmat di luar pentadbiran negeri dengan berkhidmat kepada rakyat dengan cemerlang.

“Sudah tentu kami akan pantau prestasi exco. Kami juga berharap wakil rakyat Bersatu dan Amanah buat begitu….ada ruang cukup untuk semua kita buat kerja, walaupun tidak menjadi exco,” katanya kepada media pagi tadi.

Katanya, pemilihan exco diputuskan dalam mesyuarat dihadiri semua pengerusi parti negeri Pakatan Harapan, termasuknya yang merupakan ketua DAP negeri.

“Exco sudah dibentuk. Mari maju ke depan. Kita harap semua exco dilantik akan buktikan kemampuan mereka untuk berkhidmat dan buat kerja.”

“Apabila keputusan dibuat, kebimbangan utama adalah untuk kekal kepada status quo bagi memastikan kelangsungan serta membuktikan kepada rakyat yang kita boleh buat kerja dan menjustifikasikan pilihan dan keyakinan mereka terhadap kita.”

Chow berkata Sistem Westminster yang diamalkan membenarkan ketua kerajaan negeri melakukan rombakan exco pada bila-bila masa jika diperlukan.

“Tetapi saya tak kata ia perlu buat masa sekarang,” tambahnya.

PH kekal berkuasa di Pulau Pinang pada PRU14, DAP menang 19 kerusi, PKR menang 14 kerusi manakala Bersatu dan Amanah masing-masing dua kerusi. Pembangkang Barisan Nasional menang dua dan PAS menang satu daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen