Antara Amiruddin dan Shaharuddin, siapa bakal MB Selangor?


The Malaysian Insight

DUA nama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sudah dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai cadangan pengganti kepada Mohamed Azmin Ali untuk menerajui negeri sebagai menteri besar.

Sumber kerajaan negeri mengesahkan nama Adun Seri Setia dan Naib Presiden PKR Prof Shaharuddin Badarudin dan Adun Sungai Tua (dulunya Batu Caves) Amiruddin Shari yang juga exco negeri telahpun disampaikan kepada Sultan hari ini.

“Kini menjadi pregoratif Sultan Selangor untuk memilih pengganti Datuk Seri (Azmin), ” kata sumber yang maklum mengenai proses tersebut tetapi tidak mahu dinamakan itu.

Azmin yang mengangkat sumpah Selasa minggu lepas dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam dan bakal mengangkat sumpah bersama jemaah menteri yang lain di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Isnin ini. 

Azmin dijadual bertemu Dr Mahathir tengahari ini kini untuk meyampaikan persetujuan beliau atas lantikan ke dalam jemaah menteri di Putrajaya.

Shaharuddin sebelum ini dilantik sebagai exco memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau pernah juga berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor UNISEL dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE). 

Amirudin pula merupakan seorang yang rapat dengan Azmin sejak penubuhan PKR pada 1998 dan memegang portfolio Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan di negeri.

Pengumuman rasmi bakal menteri besar Selangor dijangka akan dibuat selewat-lewatnya Isnin ini. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen