SERBUAN polis ke atas Pejabat Perdana Menteri minggu ini menemukan draf sepucuk surat kepada bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail yang ditulis tiga tahun lalu berhubung siasatan ke atas skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), lapor portal berita Malay Mail.
Draf surat itu ditemui bersama beberapa dokumen mengenai 1MDB, tersimpan dalam peti besi di bilik yang digunakan bekas setiausaha sulit kepada Najib Razak, Iskandar Mohd Kaus.
Draf surat itu bertarikh 27 Julai 2015, bertajuk “Penyiasatan ke atas 1MDB dan hal-hal berbangkit kepada YBhg Tan Sri Abdul Gani Patail”.
Gani yang mengetuai pasukan khas penyiasat skandal 1MDB ditamatkan perkhidmatannya pada tarikh yang sama, dua bulan lebih awal daripada umur layak bersara.
Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa kemudian menjelaskan perkhidmatan Gani, yang jadi peguam negara sejak 2003, ditamatkan kerana masalah kesihatan – alasan yang kemudiannya mengejutkan Gani sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nancy Shukri turut menjelaskan Gani kekal sebagai pegawai perundangan dan kehakiman sehingga persaraannya pada awal Oktober 2015.
Tempat Gani sebagai peguam negara digantikan oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi Ali, yang beberapa bulan selepas itu mengisytiharkan Najib tidak terlibat dengan skandal 1MDB.
Apandi minggu lalu “direhatkan daripada tugas” dan bercuti tanpa rekod selama 30 hari bermula 15 Mei lepas. Jawatan Peguam Negara kini dipangku oleh Peguamcara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek.
Serbuan polis ke Pejabat Perdana Menteri itu dibuat bagi siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Jenayah atas kesalahan pecah amanah oleh penjawat awam.
Sementara itu, polis semalam berjaya memecahkan peti besi berusia 20 tahun di kediaman Najib di Taman Duta dan menemui antara lain mata wang asing lama dalam jumlah kecil serta beberapa dokumen termasuk sijil nikah Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.
Operasi polis di beberapa premis termasuk dua unit kondominium di tengah Kuala Lumpur sejak Rabu malam adalah untuk melengkapkan siasatan skandal 1MDB, yang selama ini dinafikan oleh Najib dan pentabdirannya. – 19 Mei, 2018.
Komen