AHLI Parlimen PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata sekatan ke atas abangnya Nik Omar dari bertugas di masjid dikuasai keluarga itu hanyalah sementara.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, sekatan ke atas Nik Omar dari menjadi imam solat dan tenaga kuliah di Masjid Pulau Melaka itu kekal sehinggalah ibu mereka memberi restu.
“Ia adalah sekatan bersifat sementara, iaitu sehinggalah al fadhil ustaz Nik Omar mendapat restu bondanya,” kata Nik Abduh dalam kenyataan beliau hari ini.
Keputusan itu dibuat ekoran tindakan Nik Omar bertanding atas tiket Pakatan Harapan menentang calon PAS di kerusi DUN Chempaka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.
Nik Omar dilaporkan berkata, halangan itu mula dijalankan semalam ketika beliau hendak memimpin solat Subuh dan menyampaikan kuliah di masjid tersebut.
Solat subuh berkenaan sebaliknya diimamkan oleh Nik Abduh. Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abduh menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat oleh keluarga mereka sendiri.
Beliau juga menjelaskan bahawa ibu mereka, Tuan Sabariah Tuan Ishak terpaksa berkeras kerana menanggung malu daripada tindakan Nik Omar bertanding menentang PAS.
“Ia memberi kesan yang amat besar kepada seorang ibu yang terpaksa menanggung rasa malu yang teramat apabila bersua dengan masyarakat awam.
“Ia membawa kepada tindak balas keras daripada bonda yang tidak pernah kami lihat dalam hidup kami sebelum ini. Ia terus memanjang sehingga hari ini,” kata Nik Abduh lagi.
Nik Omar yang popular dalam siri ceramahnya semasa kempen di ibu negara bagaimanapun kecundang di kerusi Chempaka. Calon baharu PAS, Ahmad Fathan Mahmood menang dengan majoriti hampir 3,500 undi. – 19 Mei, 2018.
Komen