Dalam Kabinet Mahathir, Nurul Izzah bukan nepotisme


The Malaysian Insight

MUSYKIL paling besar dalam senarai Kabinet Mahathir yang dikeluarkan semalam adalah tiadanya nama wanita paling layak menabur khidmat kepada negara pada kedudukan tinggi – Nurul Izzah Anwar.

Beliau menempa namanya sendiri dalam masa dua dekad lalu, bermula sebagai anak sulung Anwar Ibrahim yang dua bulan sebelum umurnya cecah 18 tahun jadi simbol perjuangan Keadilan menuntut pembebasan ayahnya selepas dipecat pada 1998.

Puteri Reformasi itu kini pemimpin PKR paling kanan dan layak selepas Anwar, presiden parti yang juga ibunya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Tetapi ibu tunggal dua anak itu, yang menang pilihan raya sejak 2008, tidak dapat jawatan kerajaan walaupun lebih berpengalaman berbanding mereka yang disenaraikan untuk bekerja dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar, ketua umum PKR, berkata anaknya itu tidak mahu sebarang jawatan. Sumber dalaman parti pula berkata ia bagi mengelak cakap-cakap orang tentang nepotisme kerana ibunya juga timbalan perdana menteri.

Komponen lain dalam Pakatan Harapan berharap nama beliau ada dalam senarai PKR. Tetapi namanya tidak ada dan Dr Mahathir terpaksa memilih daripada senarai yang diberikan kepadanya, kata sumber.

Difahamkan semasa kempen PRU14, Nurul Izzah dimaklumkan beliau akan dapat jawatan kabinet sekiranya PH menang pilihan raya. Apatah lagi beliau pengarah pilihan raya PKR dan mengkagumkan rakan-rakannya semasa kempen.

Barangkali Dr Mahathir ada pelan lain untuk Nurul Izzah. Tetapi hakikatnya Malaysia baharu ini memerlukan beliau untuk jawatan kanan. Beliau boleh berdiri sendiri, bukan sebagai anak sulung dua ahli politik.

Jawatan itu bukan anugerah. Beliau sudah berusaha sejak 20 tahun lalu dan jawatan kabinet adalah bagi mereka yang sudah bekerja keras, sepertinya dan Dr Mahathir.

Nurul Izzah mungkin ada pandangan lain tetapi Malaysia memerlukan yang terbaik untuk masa depan. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen