Petisyen desak Dr Mahathir jadi menteri pendidikan diwujudkan


The Malaysian Insight

LEBIH daripada 30,000 orang telah mendaftar satu petisyen dalam talian bagi mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil portfolio pendidikan selepas beliau melepaskannya dan memberinya kepada ahli Parlimen lain.

Dr Mahathir, yang pada mulanya mengumumkan akan menduduki jawatan menteri pendidikan, telah melantik Ahli Parlimen Simpang Renggan Dr Maszlee Malik dari Bersatu selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

Keputusan itu dibuat bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan bahawa perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidak boleh memegang dua portfolio, terutamanya, Kementerian Kewangan.

“Itu janji dalam manifestodan saya tak boleh melanggarnya pada masa ini walaupun ada yang mahu saya ambil pendidikan,” kata Dr Mahathir semalam.

Seramai 30,000 orang sudah menandatangani petisyen untuk Dr Mahathir memegang portfolio pendidikan. Ia menyertakan ucapan awal beliau sebaik saja mengumumkan dirinya sebagai Menteri Pendidikan iaitu “ramai orang yang tidak berpendidikan” dan cara pendidikan di Malaysia sudah ketinggalan zaman.

“Sekiranya anda, seperti kami, percaya Tun Dr Mahathir Mohamad harus menjadi Menteri Pendidikan dan membawa pembaharuan yang amat diperlukan ke atas sistem pendidikan di negara ini, sila luangkan masa untuk menandatangan petisyen ini dan kongsikannya di kalangan rakan dan keluarga,” sebut petisyen yang dimulakan oleh Raveen Dev itu.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut mengalu-alukan keputusan sebelum ini untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai menteri pendidikan dan berkata sistem pendidikan di negara ini mempunyai begitu banyak masalah.

Dr Mahathir pernah menjadi menteri pendidikan dari 1974 hingga 1978 sebelum menjadi perdana menteri keempat pada 1981. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen